Rakyat kurangkan belanja tak penting, lebih tumpu keperluan harian - Vodus Research

Rakyat kini mengurangkan belanja tidak penting dan lebih menumpukan kepada keperluan harian antaranya makanan, utiliti dan perumahan. Gambar hiasan
Rakyat kini mengurangkan belanja tidak penting dan lebih menumpukan kepada keperluan harian antaranya makanan, utiliti dan perumahan. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia semakin kurang yakin dengan masa depan kewangan sendiri menyebabkan ramai yang mengurangkan pembelian tidak penting dan bersifat suka-suka, sebaliknya memberi tumpuan kepada keperluan harian.

Berdasarkan Kajian Sentimen Pengguna Vodus 2025 yang melibatkan 10,673 responden dewasa, terdapat peningkatan dalam konteks kebimbangan mengenai penyediaan bajet, penggunaan kredit dan perancangan persaraan berbanding tahun lalu.

Pengasas Vodus Research, Dr Kelvin Goh berkata, apabila keyakinan semakin lemah, isi rumah mulai menyesuaikan tabiat berbelanja.

Menurutnya, kebanyakan responden kini mengutamakan makanan, utiliti dan perumahan.

"Penemuan menunjukkan bagaimana kemerosotan keyakinan mempengaruhi tingkah laku isi rumah. Rakyat Malaysia tidak bertindak melulu.

"Mereka bertindak balas terhadap ketidaktentuan kewangan dengan menumpukan kepada perkara asas dan menangguhkan perbelanjaan tidak penting.

"Perubahan ini kurang didorong oleh pilihan, tetapi lebih kepada keperluan mengurus risiko,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tinjauan dibuat dari 25 Julai hingga 15 Ogos lalu dan distrukturkan bagi mencerminkan demografi banci nasional merangkumi Semenanjung serta Malaysia Timur.

Kelvin menambah, hanya 13 peratus responden dilaporkan berjimat dan kurangkan berbelanja, menunjukkan bahawa ramai lebih cenderung mengekalkan kestabilan daripada meningkatkan simpanan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, hanya 44 peratus responden menyatakan bahawa mereka bersedia untuk persaraan, manakala keyakinan terhadap perancangan kewangan jangka panjang terus merosot.

Dalam pada itu, Kelvin memaklumkan bahawa tekanan kewangan semakin meningkat dalam beberapa kumpulan demografi, termasuk responden kaum Cina, individu berusia 35 hingga 44 tahun serta penduduk di kawasan Pantai Timur.

Jelas beliau, kebanyakannya mengakui bimbang bab kewangan, namun tetap menyalurkan sebahagian besar pendapatan kepada kos keperluan harian.

Bagaimanapun menurutnya, disiplin dalam berbelanja kekal kukuh kerana hampir 45 peratus mengelakkan pembelian yang tidak mampu manakala 34 peratus memilih untuk menyimpan terlebih dahulu sebelum membeli.

"Tetapi, peningkatan penggunaan skim Beli Dahulu, Bayar Kemudian (BNPL) menimbulkan kebimbangan. Responden yang sudah berada dalam tekanan kewangan cenderung melihat keadaan bertambah buruk apabila menggunakan BNPL.

"Mereka yang menyimpan dahulu atau menggunakan pinjaman peribadi melaporkan tahap kestabilan lebih baik.

"Tahap hutang kekal sederhana. 65 peratus rakyat Malaysia berkata bahawa mereka sama ada bebas hutang atau berhutang kurang dari RM50,000," ujar Kelvin.

Menyentuh tentang gender, kata beliau, kaum wanita lebih berkemungkinan tidak mempunyai hutang jangka panjang berbanding lelaki.

Menurutnya lagi, isi rumah bandar di Zon Tengah mencatatkan paras pinjaman yang lebih tinggi, namun Zon Timur dan Zon Pantai Timur pula merekodkan kadar bebas hutang lebih tinggi.

Bagi konteks tabiat mengumpul wang, Kelvin berkata, empat per lima responden yang menyimpan lebih 11 peratus daripada pendapatan mengakui kehidupannya berasa baik berbanding tahun lalu.

"Sebaliknya, separuh sahaja daripada mereka yang menyimpan kurang dari 10 peratus berkongsi pandangan sama. Lebih 40 peratus masih bergelut nak tampung perbelanjaan asas, khususnya isi rumah berpendapatan rendah dan golongan muda.

"Corak ini mencerminkan masyarakat yang mampu menyesuaikan diri dalam jangka pendek, tetapi tidak pasti untuk jangka panjang.

"Rakyat sedang menyesuaikan diri, tapi jurang antara keupayaan menyesuaikan diri dalam jangka pendek dengan kesiapsiagaan jangka panjang semakin melebar," jelasnya.

Ringkasan AI

  • Rakyat Malaysia semakin kurang yakin dengan masa depan kewangan mereka dan menumpukan kepada keperluan harian
  • Kebimbangan terhadap penyediaan bajet, penggunaan kredit dan perancangan persaraan meningkat
  • Isi rumah menyesuaikan tabiat berbelanja dengan mengutamakan pembelian keperluan seperti makanan, utiliti dan perumahan
  • Sebahagian besar responden mengelak pembelian tidak penting dan bertindak berjimat cermat
  • Tekanan kewangan meningkat dalam kalangan beberapa demografi, dengan penggunaan skim Beli Dahulu, Bayar Kemudian (BNPL) menimbulkan kebimbangan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!