Cubaan wanita warga China guna E-Pass palsu ke luar negara gagal

SEPANG – Cubaan seorang wanita warga China untuk berlepas ke luar negara menggunakan dokumen perjalanan palsu gagal apabila dia ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di sini pada Jumaat.
AKPS dalam satu kenyataan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, pegawai bertugas di Balai Perlepasan Antarabangsa mengesan sesuatu mencurigakan ketika pemeriksaan dokumen ke atas wanita berkenaan yang dijadualkan menaiki penerbangan ke Kunming, China pada jam 9.30 malam.
“Hasil siasatan awal mendapati wanita berusia 28 tahun itu mengemukakan dokumen Electronic Pass (E-Pass) bertarikh 22 Julai 2025 yang sepatutnya sah sehingga 20 Julai 2026, namun semakan lanjut mendapati dokumen tersebut tidak wujud dalam sistem dan disyaki palsu serta diperoleh secara tidak teratur,” katanya.
Menurutnya, susulan itu, wanita berkenaan ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan kini ditahan di Depot Imigresen KLIA Terminal 2 untuk diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan KLIA bagi siasatan lanjut.
AKPS menegaskan agensi itu komited memastikan kawalan keselamatan di pintu masuk negara sentiasa berada pada tahap tertinggi dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan penyalahgunaan dokumen perjalanan atau pelanggaran undang-undang imigresen.
“Orang awam diseru supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di pintu masuk negara bagi memperkukuh keselamatan dan kedaulatan sempadan Malaysia,” katanya.
Ringkasan AI
- Wanita warga China ditahan di KLIA kerana guna dokumen palsu
- Cubaan berlepas ke luar negara gagal pada jam 6.30 petang
- E-Pass diperoleh secara tidak teratur dan tidak wujud dalam sistem
- Wanita itu kini ditahan di Depot Imigresen KLIA2 untuk siasatan lanjut
- AKPS komited pastikan keselamatan sempadan negara pada tahap tertinggi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
