Masih ramai tak tahu beli minyak peket subsidi guna eCOSS - Exco

Veerapan (kanan) menunjukkan aplikasi eCOSS yang perlu dimuat turun pengguna bagi tujuan membeli minyak masak peket bersubsidi.
Veerapan (kanan) menunjukkan aplikasi eCOSS yang perlu dimuat turun pengguna bagi tujuan membeli minyak masak peket bersubsidi.
A
A
A

SEREMBAN - Masih ramai pengguna tidak mengetahui yang mereka perlu mendaftar aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) untuk membeli minyak masak peket bersubsidi.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, penggunaan sistem itu bertujuan mengawal dan memantau pembelian barang terkawal terbabit sekali gus menangani isu ketirisan.

"Apabila membuat bayaran di kaunter, pengguna perlu menunjukkan aplikasi tersebut di telefon bimbit mereka dan sekarang ini adalah tempoh advokasi.

"Walaupun sistem itu telah diperkenalkan sejak Ogos lalu, tapi kita dapati masih ramai yang tak tahu mengenainya," katanya selepas meninjau pelaksanaan eCOSS di sebuah pasar raya di sini pada Selasa.

Jelasnya, sistem itu akan merekodkan pembelian minyak masak peket subsidi bagi setiap pengguna sekali gus memastikan ia sampai kepada golongan sasaran.

Bagaimanapun katanya, orang ramai masih boleh membeli minyak masak subsidi sekiranya tidak mempunyai aplikasi berkenaan dan dikehendaki mengisi borang secara manual yang disediakan oleh pihak pasar raya.

Beliau turut menggalakkan di setiap premis untuk menyediakan petugas bagi membantu pelanggan mendaftar dan menggunakan aplikasi terbabit.

Sementara itu seorang pengguna, Azhar Zainol, 52, menyambut baik langkah kerajaan memperkenalkan aplikasi tersebut bagi mengelak ketirisan.

Bagaimanapun katanya, maklumat mengenainya perlulah dihebahkan secara lebih meluas kerana masih ramai tidak mengetahuinya.

Artikel Berkaitan:

"Saya pun baru hari ini tahu bila nak beli minyak masak subsidi perlu guna eCOSS.

"Baguslah apa yang kerajaan buat ini, cumanya perlu diuar-uarkan lagi kerana saya percaya ramai yang tak tahu terutama warga emas," katanya.

Dia yang bekerja sendiri mengakui pada awalnya sistem itu mungkin dianggap menyusahkan buat sesetengah orang, namun berkesan bagi memastikan barang terkawal itu tidak lagi dibeli sesuka hati terutamanya oleh warga asing.

Ringkasan AI

  • Pengguna perlu mendaftar aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) untuk membeli minyak masak peket bersubsidi
  • Sistem ini bertujuan untuk mengawal dan memantau pembelian minyak masak bersubsidi serta menangani isu ketirisan
  • Pembeli perlu menunjukkan aplikasi di telefon bimbit mereka ketika membuat bayaran di kaunter
  • Orang ramai masih boleh membeli minyak masak bersubsidi tanpa aplikasi dengan mengisi borang secara manual
  • Petugas disediakan di premis untuk membantu pelanggan mendaftar dan menggunakan aplikasi eCOSS

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!