[VIDEO] Serik berdepan banjir, penduduk bina rakit tong
JOHOR BAHRU – Serik berdepan dua kali kejadian banjir besar, penduduk di Kampung Pengkalan Rinting, di sini, mengambil inisiatif membina rakit sebagai persediaan menghadapi musibah pada Monsun Timur Laut hujung tahun ini.
Penduduk, Mohd Alip Bedu, 78, berkata, rumahnya antara terawal dinaiki air kerana terletak hanya kira-kira 20 meter dari sungai.
Menurutnya, kejadian banjir terbaharu pada minggu lalu berpunca daripada kerosakan pintu air di Sungai Skudai ketika fenomena air pasang besar.
“Air melimpah ke dalam rumah bermula jam 1 tengah hari pada Jumaat ketika air pasang. Banjir membawa air berbau busuk dan surut sekitar jam 5 petang.
“Banjir kali ini tidak teruk berbanding pada Mac lalu, di mana air naik hampir satu meter dan kami terpaksa tinggal selama tiga hari di PPS,” katanya ketika ditemui pada Ahad.

Jelas Mohd Alip, bagi mengelakkan kerugian besar akibat banjir, dia mengumpulkan tong sejak empat bulan lalu dan membuat rakit.
“Rakit dibuat agak besar untuk membawa lebih banyak barang selain membantu penduduk lain berpindah ke PPS jika banjir.
“Selain itu, barang-barang terutama pakaian sudah dimasukkan ke dalam bekas dan perabot serta barang elektrik diletakkan di tempat yang lebih tinggi,” katanya.
Sebelum itu, Mohd Alip antara 100 penduduk yang menerima bantuan Ihsan Yayasan Bandaraya Johor Bahru yang disampaikan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad.
Menurut Mohd Haffiz, antara punca utama banjir di kawasan berkenaan pada minggu lalu ialah kemasukan air laut ketika fenomena air pasang besar, selain kerosakan pada panel pintu air lama berusia 20 tahun yang pecah.
“Kerajaan negeri segera menyalurkan peruntukan RM4.5 juta bagi membeli pam berkapasiti tinggi dan pemasangan akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) dijangka pada bulan depan.
“Kerajaan sebelum ini telah menjalankan pelbagai usaha menaik taraf infrastruktur saliran di Kampung Pasir dan Kampung Pengkalan Rinting.
“Pembinaan pintu air baharu serta projek saliran semasa diharap dapat mempertingkatkan keupayaan kawalan banjir dan mengurangkan risiko limpahan air laut pada masa akan datang,” katanya.
Ringkasan AI
- Penduduk Kampung Pengkalan Rinting, Johor Bahru, membina rakit sebagai persediaan menghadapi banjir Monsun Timur Laut
- Mohd Alip Bedu menyatakan rumahnya sering terjejas banjir kerana dekat dengan sungai
- Banjir terbaharu dipengaruhi kerosakan pintu air di Sungai Skudai dan fenomena air pasang besar
- Penduduk mengambil langkah persediaan seperti membuat rakit dan mengamankan harta benda
- Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM4.5 juta untuk pembelian pam berkapasiti tinggi dan naik taraf infrastruktur saliran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

