Banjir kilat landa Makkah

Sebuah kenderaan pacuan empat roda dihanyutkan air banjir di sekitar Makkah. - Agensi
Sebuah kenderaan pacuan empat roda dihanyutkan air banjir di sekitar Makkah. - Agensi
A
A
A

MAKKAH - Fenomena cuaca ekstrem melanda Arab Saudi apabila hujan lebat dan ribut petir mengakibatkan banjir kilat melanda beberapa kawasan berhampiran kota suci Makkah, lapor The Sun.

Rakaman tular menunjukkan arus deras berwarna keruh memenuhi jalan, manakala kilat sabung-menyabung di langit.

Beberapa klip turut memaparkan air hujan mengalir deras di kaki lima dan menenggelami kawasan perumahan.

Kenderaan dilihat tersekat dan ada yang terpaksa meredah banjir bagi meneruskan perjalanan.

Lori dan trak besar turut berdepan angin kencang dan hujan lebat di lebuh raya utama.

Media tempatan melaporkan, cuaca tidak menentu dengan ribut petir tertumpu di bahagian utara dan barat negara itu.

Hujan dijangka berterusan pada Khamis sebelum bertambah lebat menjelang hujung minggu, menjejaskan kawasan pesisir seperti Makkah, Jeddah dan Madinah.

Kelajuan angin dilaporkan mencecah 50 kilometer sejam, manakala ombak setinggi dua setengah meter direkodkan di beberapa lokasi.

Hujan batu turut diramal melanda susulan banjir yang sudah berlaku.

Artikel Berkaitan:

Pihak berkuasa cuaca Arab Saudi menyatakan wilayah Jazan, Asir, Al-Baha dan Makkah dijangka terus terkesan dengan hujan ekstrem.

Tahun lalu, negara itu turut menghadapi taburan hujan lebat yang melumpuhkan sebahagian wilayah Asia Barat, menyebabkan kereta dihanyutkan, jalan menjadi sungai dan penduduk dipaksa menyelamatkan diri.

Antara kawasan paling terjejas ialah Qassim yang mana penduduk terpaksa meredah air sedalam paras lutut dan ada yang terkurung di rumah akibat paras air meningkat dengan cepat.

Penduduk melaporkan bunyi guruh dan kilat 'menerangi seluruh bandar' sepanjang kejadian. - Agensi

Ringkasan AI

  • Fenomena cuaca ekstrem melanda Arab Saudi dengan hujan lebat dan ribut petir menyebabkan banjir kilat di kawasan Makkah
  • Rakaman menunjukkan arus deras dan kilat di langit
  • Kenderaan tersekat dan lori berdepan angin kencang serta hujan lebat di lebuh raya
  • Hujan dijangka berterusan dan bertambah lebat, menjejaskan Makkah, Jeddah dan Madinah
  • Pihak berkuasa menyatakan wilayah Jazan, Asir, Al-Baha dan Mekah terkesan dengan hujan ekstrem

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!