Petani, pekebun tingkat persiapan lindungi tanaman musim tengkujuh

Mohd Shahar menyampaikan bantuan kepada petani ketika Program IMP Kluster Petani, Penternak dan Nelayan Peringkat Daerah Kuantan di Dewan Datuk Seri Abdul Manan Ismail pada Jumaat. Gambar kecil: Ramdan (kiri) dan Hamidah.
Mohd Shahar menyampaikan bantuan kepada petani ketika Program IMP Kluster Petani, Penternak dan Nelayan Peringkat Daerah Kuantan di Dewan Datuk Seri Abdul Manan Ismail pada Jumaat. Gambar kecil: Ramdan (kiri) dan Hamidah.
A
A
A

KUANTAN – Risiko banjir dan serangan haiwan perosak pada musim tengkujuh mendorong petani dan pekebun di daerah ini meningkatkan langkah persiapan bagi melindungi tanaman mereka.

Pesawah, Ramdan Ismail, 54, berkata, walaupun tanaman padi sedang berada pada fasa tanam baharu, namun pemantauan paras air dilakukan bagi mengelak tanaman padi terjejas.

"Bila tiba musim tengkujuh, saya mula berjaga-jaga kerana jika paras air naik mendadak padi boleh tenggelam.

"Sebelum ini saya pernah rugi ribuan ringgit apabila tanaman padi seluas dua ekar (0.81 hektar) musnah dan itu antara perkara membimbangkan setiap kali musim banjir," katanya ketika ditemui pada penyerahan Program IMP Kluster Petani, Penternak dan Nelayan Peringkat Daerah Kuantan di Dewan Datuk Seri Abdul Manan Ismail di sini pada Jumaat.

Majlis penyerahan itu disampaikan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif.

Ramdan yang sudah mengusahakan sawah padi lebih 30 tahun menjelaskan, beberapa persiapan lain turut dilakukan termasuk memperbaiki saliran bendang dan memastikan peralatan pertanian berada dalam keadaan baik untuk digunakan bila diperlukan.

Ujarnya, semua perkara ini diberi keutamaan bagi mengurangkan risiko kerugian ketika musim tengkujuh.

"Hari ini kita dapat bantuan tunai, tapi kita harap ada bantuan lain seperti baja dan racun dapat disalurkan bagi meringankan kos pengurusan sawah," katanya.

Sementara itu, pekebun sayur dan buah, Hamidah Sakirin, 64, mengakui telah membuat persiapan awal dengan memindahkan tanaman dalam polibeg ke kawasan lebih tinggi bagi mengelak risiko banjir.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pagar kebun juga dibaiki bagi memastikan tanaman yang mudah rosak dijaga rapi, sekali gus mengurangkan kerugian sekiranya hujan lebat berterusan.

"Kebun saya memang kawasan tinggi, tapi saya ambil juga langkah berjaga-jaga kerana apa sahaja boleh berlaku," ujarnya.

Ringkasan AI

  • Risiko banjir dan serangan haiwan perosak pada musim tengkujuh mendorong petani dan pekebun di Kuantan meningkatkan persiapan melindungi tanaman
  • Pesawah memantau paras air untuk elak tanaman padi terjejas akibat banjir
  • Penyelenggaraan saliran bendang dan keadaan alat pertanian diberi perhatian untuk kurangkan kerugian musim tengkujuh
  • Bantuan tunai diberikan kepada petani, harapan untuk bantuan lain seperti baja dan racun
  • Pekebun sayur dan buah membuat persiapan awal seperti memindahkan tanaman ke kawasan lebih tinggi dan membaiki pagar kebun untuk elak risiko banjir

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!