Pindaan akta kemahiran buka ruang baharu kepada belia

Aldrin
Aldrin
A
A
A

IPOH - Pindaan terhadap Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Akta 652) dan Akta Tabung Pembangunan Kemahiran (Akta 640) yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini mampu memperkukuh ekosistem pembangunan tenaga mahir negara.

Pengarah Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), Aldrin Ng berkata, langkah itu dianggap sebagai strategi penting bagi memastikan lebih ramai anak muda mendapat akses kepada latihan kemahiran yang diiktiraf serta peluang pembiayaan yang lebih luas di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Menurutnya, secara tidak langsung inisiatif berkenaan menunjukkan komitmen kerajaan memperkasa pendidikan dan latihan berasaskan kemahiran sejajar aspirasi PASAK dalam membangunkan potensi anak muda negeri itu.

"Pindaan ini adalah langkah progresif bagi memastikan rakyat, khususnya anak muda Perak mendapat akses yang lebih luas terhadap pembiayaan latihan kemahiran.

"Ia secara langsung dapat memperkukuh kebolehpasaran mereka di pasaran industri," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Antara inti pati penting pindaan tersebut termasuk pengenalan Sijil Kemahiran Modular Malaysia (SKMM) yang lebih fleksibel, serta pewujudan kategori Pakar Kemahiran, Pakar Kemahiran Kanan dan Perunding Kemahiran bagi mengiktiraf kepakaran tenaga kerja tempatan.

Selain itu, peluasan pembiayaan oleh PTPK bagi program latihan kemahiran di bawah seliaan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dijangka memperkasa lagi pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh negara.

Aldrin berkata, PASAK akan terus komited bekerjasama dengan JPK, PTPK serta agensi-agensi berkaitan dalam memperluas program TVET dan latihan kemahiran agar memberi manfaat maksimum kepada rakyat Perak.

“Kami percaya pindaan ini bukan sahaja mengukuhkan jaringan antara kerajaan dan penyedia latihan, malah menggalakkan penyertaan aktif industri dalam membentuk tenaga kerja yang kompetitif,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, pendekatan baharu ini selaras dengan agenda Malaysia Madani yang menekankan kesejahteraan rakyat melalui pembangunan kemahiran, kecekapan dan keberhasilan tenaga kerja.

 

 

Ringkasan AI

  • Pindaan Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan dan Akta Tabung Pembangunan Kemahiran bertujuan memperkuat ekosistem pembangunan tenaga mahir di Malaysia
  • Pengenalan Sijil Kemahiran Modular Malaysia dan kategori baru seperti Pakar Kemahiran untuk mengiktiraf tenaga kerja tempatan
  • Pelaksanaan ini memperluas pembiayaan latihan kemahiran melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran
  • PASAK komited bekerjasama dengan JPK dan PTPK dalam memperluas program TVET dan latihan kemahiran
  • Pendekatan baharu ini selaras dengan agenda Malaysia Madani yang menekankan kesejahteraan rakyat melalui pembangunan kemahiran

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!