Had umur belia wajar disemak semula selaras pembangunan anak muda Felda

Laporan Sinar Harian berhubung KBS tetap laksana had umur belia pada 1 Januari
Laporan Sinar Harian berhubung KBS tetap laksana had umur belia pada 1 Januari
A
A
A

SHAH ALAM – Had umur belia di negara ini wajar disemak semula dan dinaikkan kepada 35 tahun selaras dengan keperluan pembangunan belia luar bandar sebagai langkah untuk memastikan kelangsungan kepimpinan golongan berkenaan terpelihara.

Setiausaha Agung Majlis Belia Felda Malaysia, Mohammad Syahiran Annuar berkata, pihaknya bimbang terhadap kesan dasar yang diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh baru-baru ini, khususnya yang melibatkan komuniti belia di rancangan Felda.

Menurut beliau, realiti kehidupan dan corak pembangunan komuniti di kawasan Felda amat berbeza berbanding di kawasan bandar kerana ramai anak muda hanya mula aktif dalam persatuan atau koperasi selepas usia 30 tahun apabila mereka lebih stabil dan mampu menyumbang kembali kepada masyarakat.

“Oleh itu, had umur 30 tahun dilihat terlalu rendah dan boleh menyebabkan ramai individu yang masih berperanan penting dalam gerakan belia Felda terkeluar daripada ruang sokongan, penyertaan serta kepimpinan yang sewajarnya.

“Walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendefinisikan belia sebagai individu berumur antara 15 hingga 24 tahun, Malaysia wajar menyesuaikan takrifan umur belia mengikut konteks tempatan.

“Dalam suasana Felda, realiti sosioekonomi seperti kelewatan memasuki alam pekerjaan, penyertaan aktif dalam pertubuhan selepas berkeluarga dan keperluan kepada kepimpinan komuniti menjadikan umur sehingga 35 tahun lebih relevan serta praktikal,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan bahawa ketetapan had umur 30 tahun bagi belia di negara ini akan tetap dikuatkuasakan mulai 1 Januari tahun depan, selepas ia ditunda sebanyak dua kali.

Hannah memaklumkan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah membuat penjelasan berhubung perkara itu melalui beberapa sesi libat urus, selain memberikan sokongan dana bagi membantu pelaksanaan transisi had umur tersebut.

Jelasnya lagi, KBS bakal mengusulkan satu kertas kerja kepada Jemaah Menteri agar semua kementerian mengekalkan bantuan dan sokongan sedia ada mengikut kumpulan umur masing-masing untuk satu tempoh tertentu.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, beberapa delegasi menyuarakan kebimbangan bahawa persatuan belia, khususnya di luar bandar, belum bersedia untuk melaksanakan ketetapan tersebut, malah ada yang mencadangkan had umur ditetapkan pada 35 tahun.

Hannah pada November 2023 berkata bahawa penguatkuasaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 akan bermula pada tahun 2026, yang melibatkan penetapan had umur ahli pertubuhan belia antara 15 hingga 30 tahun, had umur bagi ketua atau pemegang jawatan pertubuhan belia kepada 18 hingga 30 tahun, dan tempoh maksimum memegang jawatan selama empat tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!