Kerajaan jamin pindaan Akta 134 kekal lindungi hak Orang Asli

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan pindaan Akta Orang Asli 1954 [Akta 134] akan terus melindungi hak-hak komuniti itu mengikut akta sedia ada bagi memastikan kemajuan Orang Asli di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beberapa perkara dan isu berkaitan masyarakat Orang Asli dikenal pasti memerlukan pindaan sewajarnya iaitu hal berkaitan tanah termasuk tanah adat, hal ehwal kebajikan mereka, pengurusan perkahwinan adat dan tadbir urus kepimpinan tradisi masyarakat berkenaan.
“Kerajaan sedang dalam tindakan untuk meminda Akta 134 yang mana akta ini tidak pernah dibuat apa-apa pindaan substantif sejak berkuat kuasa pada 1954.
“Bagi tujuan tersebut, Kajian Semakan Pindaan Akta Orang Asli 1954 sedang dilaksanakan bagi memperhalusi dan mengkaji semula peruntukan semasa dalam Akta 134 secara menyeluruh serta mengenal pasti jurang dalam pelaksanaan akta tersebut,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini pada Khamis.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mengenai apakah jaminan pematuhan kepada Akta 134 sekiranya dipinda kerana pada pemerhatiannya di Kuala Langat, kampung Orang Asli sudah tidak wujud.
Ahmad Zahid menjelaskan, kementeriannya juga akan mengadakan sesi libat urus bersama kerajaan negeri melalui Mesyuarat Khas Majlis Perundingan Orang Asli (MaPOA) bagi membincangkan hal berkaitan tanah melibatkan Orang Asli memandangkan hal pentadbiran tanah adalah di bawah bidang kuasa negeri.
“Sesi libat urus melalui Mesyuarat Khas MaPOA ini amat penting sebelum isu tanah berkenaan dibincangkan di peringkat Majlis Tanah Negara (MTN) yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
“Selain itu, kementerian ini turut mendapatkan input melalui sesi libat urus dan soal selidik dengan kepimpinan Orang Asli dan agensi-agensi yang berkaitan agar pindaan Akta 134 nanti komprehensif dan holistik dengan mengambil kira pelbagai aspek serta pandangan pihak berkepentingan,” ujarnya.
Ahmad Zahid berkata, hasil daripada kajian itu akan membantu pihak kementerian dalam menggubal draf rang undang-undang bagi tujuan pindaan Akta 134 untuk dibentangkan dalam Dewan Rakyat.
Katanya, melalui pindaan akta tersebut, kerajaan berharap agar perlindungan hak dan kemajuan komuniti Orang Asli bukan sahaja terus terjamin, bahkan akan lebih diperkukuhkan lagi di masa hadapan.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid memberitahu, pihaknya juga sedang membangunkan satu dasar yang komprehensif dan bersifat inklusif iaitu Dasar Pembangunan Orang Asli (DPOA) dengan kerjasama United Nations Development Programme (UNDP).
Ujarnya, dasar itu akan disejajarkan dengan hala tuju terkini seperti Malaysia Madani, Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) dan komitmen negara bagi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP) yang diratifikasi negara sejak tahun 2007.
“Pembangunan dasar ini sendiri mencerminkan komitmen kerajaan untuk meletakkan asas kepada pemerkasaan Orang Asli agar setanding dengan masyarakat Orang Asal di negara lain melalui tujuh fokus strategi iaitu tanah, pendidikan, kesihatan, ekonomi, kepimpinan, infrastruktur dan kebudayaan. Pelaksanaan dasar ini adalah berdasarkan prinsip tanpa paksaan,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

