Isteri Amri bingung dengan tindakan menteri

KANGAR - Isteri kepada aktivis kebajikan yang hilang, Amri Che Mat mendakwa tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membuka semula siasatan kes suaminya sebagai membingungkan dan menghairankan.
Norhayati Mohd Ariffin berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 November lalu yang mengarahkan Kerajaan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membayar ganti rugi lebih RM3 juta kepada keluarganya hanyalah sebahagian kecil daripada keadilan yang dituntut.
Hakim Datuk Su Tiang Joo dalam keputusannya mendapati kerajaan dan PDRM bertanggungjawab terhadap kehilangan Amri, sekali gus mengiktiraf kecuaian pihak berkuasa dalam siasatan.
“Kami sekeluarga bersyukur kerana mahkamah akhirnya mengiktiraf kecuaian polis, tetapi saya bingung dan hairan mengapa Menteri Dalam Negeri hanya sekarang mahu membuka semula siasatan.
“Laporan Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan oleh kementerian sendiri sudah siap sejak 2020. Malah, Inkuiri SUHAKAM pada 2019 pun jelas menyatakan kelemahan siasatan PDRM,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media mengenai kenyataan Saifuddin yang memberi jaminan bahawa PDRM akan melaksanakan arahan mahkamah termasuk membuka semula siasatan kes kehilangan Amri dan Pastor Raymond Koh.
Norhayati turut mengingatkan bahawa pada 10 Jun 2023, menteri berkenaan pernah dilaporkan mahu membawa isu laporan Pasukan Petugas Khas kepada pihak atasan, namun sehingga kini laporan itu masih tidak didedahkan kepada umum.
Menurutnya, kenyataan terbaharu itu seolah-olah mengulangi janji lama yang tidak pernah ditepati.
“Saya melihat semua ini seperti mimpi berulang, dejavu. Hampir setahun lalu, menteri memberi jaminan siasatan telus akan dijalankan dan tidak akan berhenti sehingga keadilan tercapai,” katanya.
Norhayati meluahkan rasa sedih kerana selepas sembilan tahun, keluarganya masih tidak mengetahui nasib Amri.
Beliau menegaskan bahawa apa yang keluarga perlukan bukan sekadar kenyataan, tetapi tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab merampas Amri dan Pastor Raymond Koh, serta pihak yang cuba menyekat siasatan.
“Nasihat saya, jangan terlalu ghairah membuat kenyataan selagi belum menangani isu-isu serius yang menjejaskan integriti dan reputasi PDRM. Apa-apa tindakan selanjutnya mestilah dilakukan dengan penuh ketelusan,” tambahnya.
Amri, pengasas bersama Persatuan Kebajikan Perlis Hope, dilaporkan hilang pada 24 November 2016 selepas keluar dari rumah di Kangar dengan memandu Toyota Fortuner.
Kenderaan itu ditemui keesokan harinya di tapak pembinaan Bukit Chabang dengan cermin tingkap pecah, namun beliau masih tidak ditemui sehingga kini.
Ringkasan AI
- Isteri Amri Che Mat, Norhayati Mohd Ariffin, merasa bingung dengan keputusan Menteri Dalam Negeri membuka semula siasatan kes suaminya
- Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur arahkan kerajaan dan PDRM bayar ganti rugi lebih RM3 juta kepada keluarga Amri
- Hakim mendapati kerajaan dan PDRM bertanggungjawab terhadap kehilangan Amri Che Mat
- Norhayati ingatkan janji menteri pada 10 Jun 2023 untuk bawa isu laporan Pasukan Petugas Khas kepada pihak atasan belum ditepati
- Amri dilaporkan hilang pada 24 November 2016, kenderaannya ditemui keesokan harinya tapi beliau masih tidak ditemui
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

