Kes Amri, Raymond Koh: KDN akan bertemu pegawai AGC - Saifuddin

PUTRAJAYA - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan mengadakan pertemuan bersama pegawai Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengendalikan kes kehilangan aktivis Amri Che Mat dan pastor Raymond Koh pada Jumaat.
Saifuddin berkata, ia bagi mendapatkan maklumat lengkap secara menyeluruh susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu.
"Kita dimaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang melibatkan kedua-dua kes tersebut.
“Bagi pihak kementerian, saya akan mengadakan pertemuan dengan pegawai AGC yang mengendalikan kes ini bagi mendapatkan taklimat lengkap pada esok (Jumaat)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Jelajah Wira Madani di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, di sini pada Khamis.
Saifuddin berkata, ia juga berkaitan hala tuju siasatan, mengklasifikasikan kes dan sebagainya setelah mendapat taklimat penuh itu.
“Saya tidak boleh gopoh dalam memberikan sebarang kenyataan, adalah lebih baik saya terlebih dahulu mendapat maklumat yang lengkap,” katanya.
Pada Khamis, AGC memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi berhubung kes kehilangan aktivis Amri Che Mat dan pastor Raymond Koh.
AGC dalam dua kenyataan berasingan hari ini berkata, rayuan akan difailkan susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Su Tiang Joo, yang memutuskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan bertanggungjawab terhadap kehilangan mereka.
Amri dilaporkan hilang pada 24 November 2016 manakala Raymond hilang pada 13 Februari 2017.
Pada Rabu, mahkamah memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM3,264,457.52 berserta kos dan faedah kepada isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin.
Mahkamah turut mengarahkan PDRM membuka semula siasatan kehilangan Amri bermula semalam dan melaporkan perkembangan kepada Peguam Negara setiap dua bulan.
Mahkamah sama turut memerintahkan kerajaan membayar lebih RM37 juta kepada isteri Raymond, Susanna Liew.
Ia susulan perintah supaya kerajaan dan PDRM membayar ganti rugi RM10,000 sehari kepada keluarga Raymond bermula dari tarikh beliau diculik pada 13 Februari 2017 sehingga pihak berkuasa mendedahkan keberadaannya.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan saman yang difailkan oleh kedua-dua wanita itu terhadap kerajaan dan polis berhubung kehilangan suami masing-masing.
Ringkasan AI
- Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan bertemu pegawai Jabatan Peguam Negara Jumaat ini berkenaan kes kehilangan Amri Che Mat dan pastor Raymond Koh
- Saifuddin mendapatkan maklumat penuh susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
- Jabatan Peguam Negara akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah
- Mahkamah arah kerajaan bayar ganti rugi kepada keluarga Amri Che Mat dan Raymond Koh
- Siasatan kehilangan Amri Che Mat akan dibuka semula, kemas kini perkembangan setiap dua bulan kepada Peguam Negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
