Isteri mohon selami artikel ‘Tuhan tahu siapa penculik Amri'

 Noorhayati ketika sidang media selepas mahkamah memerintahkan kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membayar ganti rugi lebih RM3 juta kepadanya berhubung kehilangan Amri pada 2016.
Noorhayati ketika sidang media selepas mahkamah memerintahkan kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membayar ganti rugi lebih RM3 juta kepadanya berhubung kehilangan Amri pada 2016.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isteri kepada seorang aktivis, Amri Che Mat berharap, orang ramai dapat menyelami artikel bertajuk ‘Tuhan tahu siapa penculik Amri’ yang disiarkan pada 25 November 2021.

Ketika sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu, Noorhayati Mohd Ariffin berkata, laporan oleh penulis, Faisal Tehrani dikeluarkan sebuah portal berita itu, wajar dijadikan rujukan bagi memahami isu kehilangan suaminya sembilan tahun lalu.

Bukan itu sahaja, dia memohon pihak berkenaan tampil untuk memikul tanggungjawab terhadap perbuatan yang dilakukan sehingga menyebabkan kehilangan aktivis berkenaan.

Noorhayati bersama suaminya, Amri sebelum kehilangan aktivis berkenaan sembilan tahun lalu.
Noorhayati bersama suaminya, Amri sebelum kehilangan aktivis berkenaan sembilan tahun lalu.

"Sembilan tahun kami bertungkus-lumus bersama peguam, rakan dan anak-anak, bermula daripada siasatan Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia) sehingga ke tahap ini.

“Alhamdulillah, syukur kepada Yang Maha Esa, atas kebesarannya memberikan pengiktirafan kemenangan ini," katanya.

Bagaimanapun Noorhayati berkata, kekecewaan tetap ada kerana hasrat utama untuk mencari Amri masih belum tercapai.

Katanya, keadaan dan keberadaan suami juga belum diketahui, apatah lagi hidup mahupun sudah meninggal dunia.

Artikel Berkaitan:

"Jadi cubalah baca semula tulisan Faisal Tehrani itu," katanya selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, memerintahkan kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membayar ganti rugi lebih RM3 juta kepada Noorhayati berhubung kehilangan Amri pada 2016.

Perintah itu dibuat oleh Hakim, Datuk Su Tiang Joo yang memutuskan bahawa kerajaan bertanggungjawab terhadap kehilangan aktivis tersebut selepas meneliti semua keterangan dan bukti yang dikemukakan sepanjang perbicaraan.

Ganti rugi berkenaan meliputi ganti rugi am dan teruk sebanyak RM2 juta, ganti rugi teladan RM1 juta serta ganti rugi khas sebanyak RM14,457.

Amri yang juga pengasas Persatuan Kebajikan Harapan Perlis, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kangar pada 24 November 2016 dan sehingga kini tidak pernah ditemui.

Ringkasan AI

  • Isteri Amri Che Mat berharap orang ramai membaca artikel untuk memahami isu kepulangannya
  • Pihak berkenaan diminta bertanggungjawab atas kehilangan Amri
  • Kes Amri diusahakan selama sembilan tahun melalui proses siasatan dan perbicaraan
  • Kerajaan dan PDRM diarah membayar ganti rugi lebih RM3 juta kepada Noorhayati
  • Amri dilaporkan hilang sejak 24 November 2016 dan belum ditemui

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!