AGC fail rayuan keputusan bayaran lebih RM3 juta kes kehilangan Amri

Mahkamah Tinggi memerintahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia membayar ganti rugi berjumlah lebih RM3 juta kepada isteri aktivis, Amri Che Mat.
Mahkamah Tinggi memerintahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia membayar ganti rugi berjumlah lebih RM3 juta kepada isteri aktivis, Amri Che Mat.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia membayar ganti rugi berjumlah lebih RM3 juta kepada isteri aktivis, Amri Che Mat.

Perkara itu dimaklumkan AGC menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada pagi Khamis.

"Setelah meneliti dan mempertimbangkan keputusan Yang Arif Hakim, jabatan ini akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap keputusan tersebut," katanya.

Terdahulu, Hakim Datuk Su Tiang Joo membenarkan saman isteri Amri, Noorhayati Mohd Ariffin selepas mendapati plaintif berjaya membuktikan kesnya berdasarkan kepada prinsip imbangan kebarangkalian.

Dalam keputusannya, Tiang Joo memerintahkan PDRM dan kerajaan membayar ganti rugi am dan teruk, ganti rugi teladan, ganti rugi khas serta kos prosiding yang berjumlah RM3,264,457.52.

Beliau turut mengarahkan PRDM membuka semula siasatan kehilangan Amri bermula Rabu dan melaporkan perkembangan kepada Peguam Negara setiap dua bulan.

Tiang Joo menerusi penghakimannya memberitahu, pihak berkuasa telah melanggar hak Noorhayati untuk hidup seperti yang dilindungi di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan apabila defendan gagal menjalankan siasatan yang sewajarnya terhadap kehilangan Amri.

Amri dilaporkan hilang secara misteri hampir sembilan tahun lalu selepas meninggalkan rumahnya di Kangar dengan memandu Toyota Fortuner berwarna perak sekitar jam 10.30 malam pada 24 November 2016.

Keesokan paginya, kenderaan itu ditemui ditinggalkan di tapak pembinaan Bukit Chabang, kira-kira 25 kilometer dari rumah mereka dalam keadaan tingkap kenderaan pecah, namun bapa kepada empat anak itu tiada di lokasi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Saksi kemudian mendakwa melihat beberapa kenderaan pacuan empat roda mengepung Fortuner dipandu mangsa yang juga pengasas Persatuan Kebajikan Perlis Hope, malam sebelumnya, namun hingga kini identiti mereka masih menjadi misteri.

Norhayati memfailkan saman itu bagi mendapatkan maklumat nasib suaminya dan menuntut pampasan, berdasarkan dapatan laporan pasukan Petugas Khas.

 

Ringkasan AI

  • AGC akan rayu keputusan Mahkamah Tinggi KL yang arah PDRM dan Kerajaan Malaysia bayar ganti rugi RM3 juta kepada isteri Amri Che Mat
  • Hakim membenarkan saman isteri Amri selepas plaintif berjaya buktikan kes berdasarkan prinsip imbangan kebarangkalian
  • PDRM dan kerajaan diarah bayar ganti rugi am, teruk, teladan, khas dan kos prosiding jumlah RM3,264,457.52
  • Tiang Joo arah PDRM buka semula siasatan kehilangan Amri dan laporkan perkembangan setiap dua bulan
  • Amri dilaporkan hilang hampir sembilan tahun lalu, kenderaan ditemui ditinggalkan dengan tingkap pecah 25 km dari rumah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!