Terengganu tarik pelaburan lebih RM9.8 bilion sejak 2022 - Exco

Mohd Nurkhuzaini
Mohd Nurkhuzaini
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Terengganu berjaya menarik sebanyak 50 projek pelaburan dengan nilai keseluruhan melebihi RM9.874 bilion sepanjang tahun 2022 hingga Jun 2025.

Exco Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM8.687 bilion merupakan pelaburan langsung asing (FDI) yang turut mewujudkan lebih 5,661 peluang pekerjaan baharu di negeri ini.

Menurutnya, kerajaan negeri akan terus memperkukuh pelaksanaan misi pelaburan dan promosi antarabangsa bagi memastikan Terengganu kekal sebagai destinasi pelaburan berdaya saing, berteknologi tinggi dan mampan menjelang tahun 2030.

"Kejayaan ini dicapai melalui pelaksanaan pelbagai misi promosi dan pelaburan yang dijalankan secara bersama oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) serta agensi-agensi berkaitan.

"Usaha tersebut memberi tumpuan kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan bagi menarik pelaburan asing berimpak tinggi serta memperkukuh hubungan strategik dengan pelabur luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Shah Muhamed (Pas-Bandar) pada Persidangan DUN Terengganu berhubung perkembangan misi pelaburan yang dilaksanakan kerajaan negeri di luar negara sepanjang tempoh 2022 sehingga kini.

Pada masa sama, Mohd Nurkhuzaini berkata, kerajaan negeri sedang memperkukuh ekosistem pelaburan melalui beberapa inisiatif utama, antaranya pembangunan infrastruktur sokongan industri di kawasan perindustrian utama seperti Teluk Kalong, Kerteh dan kawasan sekitar Kemaman.

Selain itu, katanya, kerajaan juga mewujudkan zon pelaburan strategik baharu, termasuk kawasan berpotensi di utara dan tengah negeri bagi sektor mineral bukan logam, tenaga boleh diperbaharui serta industri pertanian pintar.

"Kerajaan Terengganu melalui agensi-agensi berkaitan sentiasa proaktif dalam melaksanakan misi pelaburan strategik ke luar negara bagi memperkukuh asas ekonomi negeri.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa sama, menarik FDI dan memacu pertumbuhan sektor berimpak tinggi seperti teknologi hijau, sumber mineral nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE), minyak serta gas," jelasnya.

Tambah beliau, kerjasama teknologi NR-REE kerajaan negeri melalui misi pelaburan ke Australia, Jepun dan Korea Selatan telah menjalinkan rundingan bagi mendapatkan teknologi pemprosesan NR-REE yang mesra alam serta berdaya saing.

"Pengembangan sektor minyak dan gas syarikat milik kerajaan negeri, EPIC Berhad telah berjaya memperoleh kontrak melibatkan pelbagai aktiviti hiliran dan logistik.

"Selain itu, rundingan juga sedang berlangsung dengan syarikat berpangkalan di Oman bagi pengambilalihan dua lapangan minyak yang telah dikenal pasti, dengan kerjasama strategik bersama Petronas," katanya.

Ringkasan AI

  • Terengganu berjaya menarik 50 projek pelaburan melebihi RM9.874 bilion dari 2022 hingga Jun 2025
  • Sebanyak RM8.687 bilion adalah pelaburan langsung asing yang mencipta lebih 5,661 pekerjaan baru
  • Kerajaan negeri berusaha memastikan Terengganu jadi destinasi pelaburan berteknologi tinggi dan mampan menjelang 2030
  • Inisiatif melibatkan pembangunan infrastruktur sokongan industri dan penciptaan zon pelaburan strategik
  • Fokus kepada sektor teknologi hijau, sumber mineral nadir bumi bukan radioaktif dan minyak serta gas melalui kerjasama internasional

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!