Dua bekas Exco Terengganu sambung Sarjana, PhD di UUM

KUALA TERENGGANU – Dua bekas Exco Terengganu, Datuk Rozi Mamat dan Datuk Muhammad Pehimi Yusof memilih untuk kembali ke dunia akademik dengan menyambung pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Rozi, 54, kini mengikuti pengajian di peringkat Sarjana manakala Muhammad Pehimi, 63, sedang menyiapkan penyelidikan di peringkat Doktor Falsafah (PhD).
Menurut Rozi, keputusan untuk menyambung pengajian membuktikan bahawa semangat menuntut ilmu tidak mengenal usia, malah menjadi jalan baharu untuk terus berbakti kepada masyarakat.
“Keputusan untuk menyambung pengajian bukan sekadar memenuhi cita-cita akademik tetapi satu perjalanan jiwa untuk memahami semula denyut nadi masyarakat.
“Saya ingin hidup setiap saat dalam belajar. Dunia pendidikan bukan hanya tentang diri sendiri tetapi tentang bagaimana kita boleh mendengar semula suara rakyat, khususnya anak muda dan usahawan kecil di kampung,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Rozi sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Exco Pertanian dan Asas Tani (2008–2010), Exco Belia dan Sukan (2011–2013) serta Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia (2013–2018).
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu kini menjalankan kajian bertajuk Ketahanan Para Usahawan Sosial Negeri Terengganu dalam Menangani Cabaran Pasca Covid-19 di bawah seliaan Profesor Madya Dr Zainudin Omar.
Katanya, pemilihan bidang penyelidikan tersebut selaras dengan minatnya terhadap pembangunan usahawan sosial dan keusahawanan komuniti di negeri itu.
“Sebagai bekas pemimpin kerajaan, saya mahu terus menyumbang tetapi kali ini melalui ilmu dan penyelidikan. Saya ingin menilai semula bagaimana rakyat boleh bangkit selepas pandemik,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Pehimi berkata, penyelidikan PhD yang dijalaninya memberi makna baharu dalam memahami perjuangan hidup dan erti ketekunan sebenar.
“PhD ini bukan tiket untuk saya mencari kerja, sebaliknya mengenai kepuasan jiwa dalam membedah makna ilmu.
“Dunia akademik tidak seindah dunia politik tetapi di sinilah nilai kesabaran dan istiqamah diuji,” katanya yang menjalankan kajian bertajuk Pembangunan Model Transformasi Agensi Pertanian: Kajian di Negeri Terengganu, juga di bawah seliaan Dr Zainudin.
Kedua-duanya sebelum ini turut menghadiri International Correctional and Counselling Conference (ICCC) 2025 di Langkawi yang menghimpunkan sarjana dan pengamal akademik dari seluruh dunia.
Sementara itu, Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr Mohd Foad Sakdan menyifatkan kehadiran kedua-dua tokoh itu sebagai nilai tambah besar kepada suasana pembelajaran di universiti.
“UUM amat bertuah kerana menjadi pilihan ramai tokoh masyarakat yang ingin terus belajar dan menyumbang melalui penyelidikan.
“Kehadiran mereka memperkayakan pengalaman pelajar lain dengan nilai dunia sebenar,” katanya.
Ringkasan AI
- Dua bekas Exco Terengganu, Datuk Rozi Mamat dan Datuk Muhammad Pehimi Yusof kembali ke dunia akademik di Universiti Utara Malaysia
- Rozi menyambung pengajian Sarjana dan Muhammad Pehimi menyiapkan penyelidikan PhD
- Mereka menganggap pendidikan sebagai medium untuk terus berbakti kepada masyarakat
- Rozi menjalankan kajian tentang ketahanan usahawan sosial pasca Covid-19, manakala Muhammad Pehimi tentang model transformasi agensi pertanian
- Kehadiran mereka di UUM dilihat sebagai nilai tambah kepada suasana pembelajaran universiti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
