8 individu dinamakan sebagai suspek berhubung dakwaan palsu ijazah Jokowi

Jokowi. Foto AFP
Jokowi. Foto AFP
A
A
A

JAKARTA - Polis Indonesia menamakan lapan individu sebagai suspek dalam kes fitnah yang dikaitkan dengan dakwaan bahawa bekas Presiden Joko Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi telah memalsukan ijazah universiti beliau.

Kesemua suspek didakwa menyebarkan tuduhan tidak berasas mengenai kelayakan akademik bekas pemimpin itu kepada orang awam termasuk melalui media sosial, mendorong beliau membuat laporan polis pada April lalu.

Ketua Polis Jakarta Metro Jaya, Inspektor Jeneral Asep Edi Suheri pada Jumaat berkata, lapan suspek berkenaan dibahagikan kepada dua kumpulan dan berdepan pelbagai pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan serta Undang-Undang Maklumat dan Transaksi Elektronik (ITE).

"Pegawai penyiasat telah menyoal siasat 130 saksi dan 22 pakar serta merampas 723 bahan bukti, termasuk dokumen asal daripada Universiti Gadjah Mada yang mengesahkan ijazah Joko Widodo adalah tulen,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, polis akan berkoordinasi dengan pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut, sambil menegaskan siasatan dijalankan secara profesional dan telus berdasarkan bukti saintifik.

Asep turut menggesa rakyat Indonesia menggunakan media sosial secara bertanggungjawab serta mengesahkan maklumat sebelum berkongsi bagi membantu memastikan ruang dalam talian kekal selamat. - Bernama

 

 

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Polis Indonesia menamakan lapan individu sebagai suspek fitnah terhadap bekas Presiden Joko Widodo berkaitan dakwaan pemalsuan ijazah universiti
  • Suspek didakwa menyebarkan tuduhan tidak berasas melalui media sosial
  • Lapan suspek dibahagikan kepada dua kumpulan dan berdepan dengan pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan serta Undang-Undang ITE
  • Polis merampas 723 bahan bukti dan dokumen asal dari Universiti Gadjah Mada yang mengesahkan keaslian ijazah Joko Widodo
  • Polis menggesa rakyat Indonesia menggunakan media sosial secara bertanggungjawab dan mengesahkan maklumat sebelum berkongsi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!