Organisasi bantuan beri amaran lebih banyak 'kematian beramai-ramai' di Sudan

Ribuan orang berdepan risiko kematian di Kordofan Selatan, Sudan selepas kejatuhan El Fasher. Foto Reuters
Ribuan orang berdepan risiko kematian di Kordofan Selatan, Sudan selepas kejatuhan El Fasher. Foto Reuters
A
A
A

NAIROBI - Ketua Majlis Pelarian Norway (NRC) memberi amaran bahawa ribuan orang berdepan risiko kematian di wilayah Kordofan Selatan, Sudan, hanya beberapa bulan selepas kejatuhan bandar El Fasher di Darfur, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Susulan lawatan ke wilayah itu, Jan Egeland berkata, kumpulan militia sedang mengepung bandar Kadugli dan Dalang, yang juga dikenali sebagai Dilling.

"Ini adalah saat yang kritikal,” kata Egeland dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

"Kami tahu dengan tepat ke mana arahnya jika dunia tidak mengendahkan perkara ini sekali lagi. Sejarah akan menghakimi kita jika kita membiarkan orang awam di Sudan sekali lagi berhadapan dengan keganasan dan penderitaan yang tidak berkesudahan.”

Beliau berkata, terutamanya di Kadugli, di mana kumpulan bersenjata, Pasukan Sokongan Pantas (RSF) telah memutuskan semua laluan bekalan ke bandar itu selama berminggu-minggu, kelaparan kini berleluasa.

Jumlah penduduk yang berada di bandar yang terkepung itu buat masa ini tidak diketahui.

Seramai lebih 160,000 orang tinggal di dua kem pelarian di Pergunungan Nuba di Kordofan Selatan, yang dilawati Egeland minggu lepas.

Mereka hampir keseluruhannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, memandangkan kaum lelaki tidak dibenarkan meninggalkan bandar yang dikepung itu.

Rundingan dengan RSF untuk membawa konvoi makanan ke Kadugli telah gagal. Memandangkan kekurangan dana dan musim hujan yang akan bermula pada Mei, ini merupakan perlumbaan dengan masa, kata Egeland.

Artikel Berkaitan:

Terdapat kira-kira 12 juta pelarian di Sudan, dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkannya sebagai krisis kemanusiaan terbesar di dunia.

Bagaimanapun, nampaknya terdapat harapan untuk bandar-bandar yang terkepung itu, apabila seorang jurucakap tentera melaporkan bahawa pasukan kerajaan telah berjaya memecahkan kepungan di Kadugli dan Dalang.

Orang ramai yang bersorak meraikan anggota askar berkenaan dapat dilihat di media sosial. Aktivis Sudan turut mengesahkan ketibaan tentera kerajaan di kedua-dua bandar tersebut. - Bernama-dpa

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Ribuan orang berdepan risiko kematian di Kordofan Selatan, Sudan pasca kejatuhan El Fasher
  • Ketua Majlis Pelarian Norway, Jan Egeland, memberi amaran tentang kepungan bandar Kadugli dan Dalang oleh kumpulan militia
  • Kelaparan berleluasa di Kadugli disebabkan oleh Pasukan Sokongan Pantas yang memutuskan semua laluan bekalan
  • Seramai lebih 160,000 orang mengungsi di Pergunungan Nuba, Kordofan Selatan, terutamanya wanita dan kanak-kanak
  • Pasukan kerajaan dilaporkan telah berjaya memecahkan kepungan di Kadugli dan Dalang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!