Wajah makin pucat, Jokowi disahkan tidak boleh kena matahari

JAKARTA – Bekas Presiden Indonesia, Joko Widodo dilapor sedang menjalani proses pemulihan kesihatan selepas mengalami masalah kulit yang menyebabkan beliau tidak dibenarkan terdedah kepada cahaya matahari secara langsung.
Perkara itu disahkan oleh pembantu rasmi Jokowi, Komisioner Polis Syarif Muhammad Fitriansyah, yang memaklumkan bahawa Presiden kini dinasihatkan untuk tidak menghadiri sebarang aktiviti luar sehingga benar-benar pulih.
“Beliau masih dalam fasa pemulihan dan tidak disarankan untuk menyertai acara di luar yang terdedah kepada panas,” katanya kepada media pada Rabu.
Spekulasi mengenai keadaan kesihatan Jokowi mula tercetus selepas foto beliau bersama isteri, Iriana Jokowi, tular di media sosial baru-baru ini.
Dalam gambar berkenaan, wajah Presiden ke-7 Indonesia itu kelihatan lebih putih dan pucat daripada kebiasaannya.
Ketidakhadiran beliau dalam sambutan Hari Ulang Tahun ke-80 Tentera Nasional Indonesia (TNI) di Monas, Jakarta pada 6 Oktober lalu turut mencetuskan tanda tanya masyarakat.
Lazimnya, Jokowi tidak pernah melepaskan acara rasmi sebesar itu.
Menurut laporan tempatan, masalah kesihatan itu berpunca daripada alahan kulit yang dialami Jokowi selepas lawatan kerja ke Vatican beberapa bulan lalu.
Keadaan tersebut menyebabkan iritasi dan ruam kemerahan pada wajah serta lehernya.
Difahamkan, doktor menasihatkan agar Jokowi mengurangkan aktiviti luar dan mengelakkan pendedahan langsung kepada cahaya matahari sehingga keadaan kulitnya benar-benar stabil.
Sebelum ini, perubahan wajah Jokowi yang kelihatan semakin cerah turut menjadi perbincangan hangat dalam kalangan pengguna media sosial Indonesia. - Agensi
Ringkasan AI
- Bekas Presiden Indonesia, Joko Widodo, menjalani proses pemulihan kesihatan kerana masalah kulit
- Beliau diarahkan untuk mengelak daripada terdedah secara langsung kepada cahaya matahari
- Keadaan kesihatan Jokowi mula menjadi tumpuan selepas keputihan dan kelesuan wajahnya terlihat di media sosial
- Ketidakhadiran Jokowi dalam acara rasmi Tingkat Nasional mencetuskan tanda tanya
- Masalah kulit beliau berpunca daripada alahan yang dialami setelah lawatan kerja ke Vatican
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

