Tutup 'laluan tikus' di Sungai Golok

Selama berdekad-dekad, Sungai Golok bukan sekadar garis pemisah geografi, tetapi juga laluan utama bagi pelbagai bentuk kegiatan tidak sah. Gambar hiasan
Selama berdekad-dekad, Sungai Golok bukan sekadar garis pemisah geografi, tetapi juga laluan utama bagi pelbagai bentuk kegiatan tidak sah. Gambar hiasan
A
A
A

LANGKAH tegas pihak berkuasa merobohkan 223 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat sehingga ke Jeli menandakan detik penting dalam usaha memerangi jenayah rentas sempadan yang telah sekian lama mencengkam negeri ini.

Namun di sebalik tindakan besar-besaran itu, persoalan yang kekal berlegar adalah: Mampukah perobohan ini benar-benar menoktahkan kegiatan penyeludupan di sempadan Kelantan–Thailand?

Selama berdekad-dekad, Sungai Golok bukan sekadar garis pemisah geografi, tetapi juga laluan utama bagi pelbagai bentuk kegiatan tidak sah daripada penyeludupan barangan kawalan, dadah, senjata, hinggalah kepada keluar masuk pendatang tanpa izin.

Di sepanjang tebingnya, pangkalan haram tumbuh bagai cendawan, berfungsi sebagai pintu tidak rasmi, lengkap dengan jeti kecil, tali rakit, malah ada yang dilengkapi enjin bot bagi memudahkan urusan keluar masuk tanpa dikesan pihak berkuasa.

Pada 18 Ogos lalu, Sinar Harian melaporkan sebanyak 212 pangkalan haram dikenal pasti untuk dirobohkan dalam operasi bersepadu melibatkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pelbagai agensi keselamatan. Menurut Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, keputusan itu dibuat hasil mesyuarat khas PTG bagi memperkukuh kawalan sempadan.

Empat jajahan dikenal pasti iaitu Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Jeli dengan pasukan khas diketuai pejabat daerah masing-masing.

Tanggal 28 Oktober 2025, operasi besar-besaran dimulakan. Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat memaklumkan, perobohan dijalankan secara berperingkat selama dua bulan bermula di pangkalan haram Gergaji dan MCA.

Menariknya, sepanjang kerja perobohan dijalankan, pihak berkuasa tidak menerima sebarang provokasi mahupun bantahan, menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keselamatan sempadan semakin meningkat.

Namun, seperti diingatkan pemerhati keselamatan, tindakan fizikal semata-mata tidak menjamin penyelesaian menyeluruh. Struktur boleh diroboh, tetapi jika permintaan terhadap barangan seludup masih tinggi dan keuntungan di sebaliknya terlalu besar, pangkalan haram baharu boleh muncul semula dalam masa singkat. Pengawasan berterusan, risikan mantap serta kerjasama dua hala antara Malaysia dan Thailand mesti diperkukuh jika benar mahu menoktahkan masalah ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, aspek sosioekonomi penduduk setempat tidak boleh diabaikan. Ramai antara mereka bergantung kepada aktiviti perdagangan kecil merentasi sempadan untuk meneruskan kehidupan. Apabila laluan tidak rasmi ini ditutup, kerajaan perlu menyediakan alternatif ekonomi yang sah agar mereka tidak kembali kepada kegiatan lama.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan meneliti mekanisme terbaik membantu mereka yang terkesan khususnya peniaga kecil di Tumpat, Pasir Mas dan Rantau Panjang yang kehilangan sumber pendapatan.

Hakikatnya, operasi perobohan pangkalan haram ini bukan sekadar tindakan penguatkuasaan, tetapi simbol komitmen kerajaan menamatkan era ‘laluan tikus’ yang selama ini menjadi rahsia umum di sempadan. Ia satu langkah strategik untuk menstruktur semula sistem keselamatan negara, walaupun kejayaannya hanya akan dapat diukur apabila statistik jenayah rentas sempadan benar-benar menurun.

Akhirnya, operasi ini bukan hanya tentang merobohkan jeti haram, tetapi tentang meruntuhkan ekonomi gelap yang menguntungkan segelintir pihak atas penderitaan masyarakat dan risiko keselamatan negara.

Jika penguatkuasaan ini disusuli dengan keadilan sosial serta peluang ekonomi baharu kepada penduduk sempadan, maka harapan untuk melihat Kelantan bebas daripada jenayah rentas sempadan bukan lagi angan-angan tetapi kenyataan yang sedang dibina.

*Hazelen Liana Kamarudin ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Kelantan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!