Bekas pemain Kelantan FA ditahan bantu siasatan kes tembak di Sungai Golok

NARATHIWAT, THAILAND - Bekas pemain bola sepak Kelantan FA ditahan bersama dua pucuk pistol bagi membantu siasatan berhubung kes tembak rakyat Malaysia, Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, di Sungai Golok di sini pada Sabtu.
Suspek berusia 31 tahun yang pernah bermain diposisi penjaga gol itu ditangkap mengikut waran tangkap Mahkamah Wilayah Narathiwat atas tuduhan bersama-sama membunuh orang lain dengan niat yang telah dirancang terlebih dahulu.
Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Polis Prayong Khotsakha pada Isnin.
"Bersama-sama memiliki senjata api dan peluru tanpa kebenaran serta membawa senjata api ke dalam kawasan bandar, kampung atau tempat awam tanpa kebenaran dan tanpa sebab mendesak yang munasabah mengikut keadaan.
"Barang dirampas ialah dua pucuk pistol separa automatik jenis COLT kaliber 9 milimeter (mm) dan Desert Eagle kaliber 9 mm," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, suspek merupakan tertuduh dalam kes jenayah berat yang berlaku pada Sabtu jam 7 malam di mana Mohd Fuad Fahmie merupakan warganegara Malaysia telah ditembak mati di kawasan Kampung Buereng Charoen Khet, Golok di sini.
Media tempatan sebelum ini melaporkan bekas penjaga gol Kelantan FA tahun 2019 itu mempunyai dua kerakyatan iaitu Thailand dan Malaysia hasil semakan pihak berkuasa Thailand.
Sebelum itu Sinar Harian melaporkan seorang rakyat Malaysia yang parah ditembak di sebuah rumah di Sungai Golok dilaporkan meninggal dunia pada malam Sabtu.
Mangsa, Mohd Fuad Fahmie yang berasal dari Kampung Kepas Apam, Pasir Mas meninggal dunia pada jam 9 malam ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Golok selepas ditembak sebanyak 18 das.
Ringkasan AI
- Bekas pemain bola sepak Kelantan FA ditahan atas tuduhan terlibat dalam pembunuhan rakyat Malaysia di Thailand
- Suspek berusia 31 tahun adalah bekas penjaga gol
- Ditangkap dengan dua pucuk pistol dan peluru tanpa kebenaran
- Kes pembunuhan berlaku di Kampung Buereng Charoen Khet, Golok
- Mangsa, Mohd Fuad Fahmie ditembak mati dan meninggal dunia di hospital
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

