Latihan integriti perlu diperkukuh, elak rasuah dalam kalangan penjawat awam

Usaha membanteras rasuah dalam kalangan penjawat awam, khususnya anggota keselamatan perlu diperkukuh menerusi pelaksanaan latihan integriti, kempen literasi pemahaman dan kesedaran, selain pemantauan berterusan.
Usaha membanteras rasuah dalam kalangan penjawat awam, khususnya anggota keselamatan perlu diperkukuh menerusi pelaksanaan latihan integriti, kempen literasi pemahaman dan kesedaran, selain pemantauan berterusan.
A
A
A

SHAH ALAM – Usaha membanteras rasuah dalam kalangan penjawat awam, khususnya anggota keselamatan perlu diperkukuh menerusi pelaksanaan latihan integriti, kempen literasi pemahaman dan kesedaran, selain pemantauan berterusan.

Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Kuala Lumpur dan Putrajaya, Zairudin Hashim berkata, meskipun hukuman denda dan penjara telah dilaksanakan, ia masih belum cukup berkesan untuk mencegah rasuah sekiranya tiada kesedaran dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, pencegahan rasuah memerlukan pendekatan yang sistematik serta budaya integriti yang menyeluruh, bukannya bergantung kepada hukuman berat semata-mata.

"Misalnya, memperkasakan latihan integriti dan pendidikan etika dalam kalangan penjawat awam.

Ia amat penting bagi membina kesedaran dan rasa tanggungjawab terhadap amanah dan kepentingan menjaga maruah perkhidmatan awam

"Dalam masa sama, perlu ada audit integriti, saluran aduan yang selamat serta sistem pengawasan berkesan bagi mewujudkan ekosistem pemantauan dan akauntabiliti yang telus,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuantan mengekalkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000 terhadap seorang anggota polis berpangkat Sarjan selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan rasuah yang dilakukan lima tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Radzi Harun menolak rayuan Mohd Ridhuan Kasah, 45, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 10 Mac 2022.

Tertuduh didakwa secara rasuah menerima RM1,000 daripada Syed Mohd Firdaus Syed Hussin di bilik pegawai penyiasat, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan pada jam 5 petang, 18 September 2020, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Artikel Berkaitan:

Kesalahan sama dilakukan keesokan harinya apabila tertuduh sekali lagi menerima RM1,000 daripada individu sama di Pekan Station 2, bandar Pekan, sekitar jam 12.30 tengah hari, 19 September 2020.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tambah Zairudin, penjawat awam yang menunjukkan prestasi dan nilai integriti tinggi wajar diberikan penghargaan sewajarnya sebagai galakan, manakala tindakan tegas tanpa kompromi perlu dikenakan terhadap mereka yang terbabit dengan rasuah.

“Apabila anggota penguat kuasa terlibat dalam rasuah, ia mencemarkan reputasi, imej dan integriti institusi berkenaan, walaupun hanya segelintir yang bersalah.

"Secara keseluruhannya, rasuah boleh menghakis keyakinan, rasa hormat dan kerjasama masyarakat, sedangkan elemen-elemen ini amat penting bagi memastikan undang-undang dapat dikuatkuasakan dengan berkesan serta adil,” jelasnya.

Ringkasan AI

  • Usaha membanteras rasuah perlu melibatkan latihan integriti dan pendidikan etika kepada penjawat awam
  • Hukuman denda dan penjara sahaja tidak mencukupi, perlukan pendekatan sistematis dan budaya integriti
  • Perlu ada audit integriti dan sistem pengawasan yang berkesan untuk pemantauan dan akauntabiliti
  • Penghargaan bagi penjawat awam dengan integriti tinggi dan tindakan tegas kepada yang terlibat rasuah
  • Rasuah menghakis keyakinan dan kerjasama masyarakat, penting untuk penguatkuasaan undang-undang yang adil

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!