NACS perkukuh usaha perangi rasuah secara menyeluruh - SPRM

Ahmad Khusairi (dua dari kiri) hadir Majlis Perasmian Persidangan NACS Edisi Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada Khamis. Foto: SPRM
Ahmad Khusairi (dua dari kiri) hadir Majlis Perasmian Persidangan NACS Edisi Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada Khamis. Foto: SPRM
A
A
A

KUCHING - Usaha Malaysia memerangi rasuah terus diperkukuh menerusi pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028 yang dilihat membawa perubahan besar terhadap landskap tatakelola negara.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, NACS bukan sekadar dokumen dasar, sebaliknya pelan tindakan menyeluruh yang menuntut komitmen seluruh institusi untuk memperkukuh integriti dan memulihkan kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran negara.

Menurutnya, NACS ialah kerangka menyeluruh yang direka untuk mencegah rasuah sebelum ia berlaku, mendidik rakyat dan melibatkan setiap segmen masyarakat.

"Ia mewakili visi kita untuk Malaysia yang bebas rasuah, tinggi integriti dan dihormati di peringkat global.

"Sejak NACS dilancarkan Perdana Menteri pada tahun lalu, sebanyak 20 substrategi telah berjaya dilaksanakan setakat Oktober lepas melibatkan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan," katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Persidangan NACS Edisi Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini pada Khamis.

Beliau berkata, antara inisiatif utama yang telah direalisasikan termasuk penggubalan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia oleh Kementerian Dalam Negeri, pelaksanaan kursus integriti dan antirasuah di universiti oleh Kementerian Pendidikan Tinggi serta pembangunan kit etika dan nilai murni di sekolah oleh Kementerian Pendidikan.

Katanya, SPRM melalui Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) juga telah membangunkan dua papan pemuka iaitu r-NACS untuk pemantauan dalaman antara agensi dan d-NACS iaitu platform awam yang memaparkan kemajuan substrategi serta reformasi yang telah dilaksanakan.

"Matlamat jangka panjang NACS adalah untuk menempatkan Malaysia dalam kelompok 25 negara terbaik dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033," ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya dalam ucapan berkata, Kerajaan Sarawak mengambil serius isu integriti bukan hanya sebagai slogan tetapi sebagai budaya pentadbiran.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, dalam usaha memperkukuh integriti kewangan dan ketelusan, Kerajaan Sarawak turut menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet (CABCOM) bagi menyemak dan menganalisis anggaran belanjawan serta penyata kewangan oleh Badan Berkanun Negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Kerajaan negeri sentiasa menyokong kerjasama erat dengan SPRM dalam memperkukuh usaha pencegahan rasuah di semua peringkat dan menambah baik pelaksanaan program integriti bagi memastikan nilai menolak rasuah diterapkan sehingga ke akar umbi,” katanya.

 

Ringkasan AI

  • Malaysia memperkukuh usaha memerangi rasuah melalui pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional 2024–2028
  • NACS merupakan pelan tindakan menyeluruh yang menekankan komitmen semua institusi untuk meningkatkan integriti dan memulihkan kepercayaan rakyat
  • Sejak dilancarkan, telah berjaya dilaksanakan 20 substrategi melibatkan pelbagai kementerian dan agensi
  • Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk penggubalan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan, kursus integriti dan antirasuah di universiti, serta pembangunan kit etika dan nilai murni di sekolah
  • Matlamat NACS adalah untuk menempatkan Malaysia dalam kelompok 25 negara terbaik dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah menjelang 2033

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!