Beli kereta melebihi kemampuan punca penjawat awam dibebani hutang

Ada penjawat awam yang berdepan masalah hutang kerana membeli kenderaan yang tidak sepadan dengan pendapatan. - Gambar kecil: Abdul Rahman
Ada penjawat awam yang berdepan masalah hutang kerana membeli kenderaan yang tidak sepadan dengan pendapatan. - Gambar kecil: Abdul Rahman
A
A
A

SHAH ALAM - Pembelian kenderaan yang tidak sepadan dengan kemampuan pendapatan dikenal pasti antara punca utama penjawat awam berdepan masalah hutang tinggi hingga sukar membuat bayaran balik.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Abdul Rahman Mohd Nordin berkata, masalah itu berpunca daripada sikap segelintir penjawat awam yang gemar berbelanja di luar kemampuan dan membuat pinjaman bukan untuk keperluan sebenar.

“Ada yang buat pinjaman peribadi atau guna kad kredit untuk tujuan yang tidak penting. Kadangkala baju sudah ada tapi tetap beli lagi kerana ikutkan nafsu.

“Ada yang beli kereta melebihi kemampuan, sepatutnya cukup pakai kereta biasa saja tapi nak juga kereta mewah. Ini yang jadi isu tidak ukur baju di badan sendiri,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, ketua jabatan kerajaan Persekutuan dan negeri perlu memberi perhatian terhadap hutang ditanggung pegawai di bawah seliaan mereka.

Menurut beliau, ia bagi mengelakkan penjawat awam terjerumus dalam masalah keterhutangan tinggi melebihi kemampuan untuk membuat bayaran balik.

Mengulas lanjut Abdul Rahman berkata, kurang pengetahuan dari segi pengurusan kewangan dan peningkatan kos sara hidup terutama bagi yang bekerja di kawasan bandar juga antara faktor mendorong kepada masalah hutang bagi golongan berkenaan.

Ujar beliau, tekanan kewangan yang dihadapi akibat beban hutang itu turut memberi kesan terhadap prestasi kerja dan kesejahteraan mental penjawat awam terbabit.

“Kalau hutang itu dibuat dengan cara betul dan mampu dibayar sebelum tarikh tamat tempoh, itu tidak salah. Tetapi jika asyik tangguh dan dikenakan faedah tinggi, ia akhirnya jadi beban.

Artikel Berkaitan:

“Bila beban bertambah, timbul pula masalah psikologi seperti tekanan, gangguan emosi dan akhirnya menjejaskan integriti. Kadang-kadang sampai boleh menyebabkan seseorang tu hilang kerja,” ujarnya.

Menurut Abdul Rahman, setiap jabatan perlu memainkan peranan proaktif dengan mengenal pasti pegawai yang berdepan tekanan kewangan dan menawarkan bimbingan sewajarnya.

Tambahnya, pendedahan dan pendidikan berterusan mengenai pengurusan kewangan juga penting supaya penjawat awam tidak terus terjerat dengan hutang dan tekanan ekonomi.

Ringkasan AI

  • Pembelian kenderaan yang melebihi kemampuan merupakan punca utama penjawat awam menghadapi masalah hutang
  • Sikap berbelanja tidak mengikut kemampuan dan membuat pinjaman tidak perlu memburukkan keadaan
  • Kurangnya pengetahuan pengurusan kewangan dan peningkatan kos sara hidup di kawasan bandar memacu masalah hutang
  • Tekanan kewangan akibat hutang mempengaruhi prestasi kerja dan kesejahteraan mental
  • Pentadbiran perlu mengenal pasti dan memberi bimbingan kewangan kepada penjawat awam yang menghadapi tekanan kewangan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!