5.5 juta saman masih tertunggak, bayar sebelum disenarai hitam

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (gambar kecil) beri amaran tindakan mahkamah dan pembatalan cukai jalan akan dikenakan mulai 1 Januari depan kepada pemilik kenderaan yang enggan melunaskan saman tertunggak. - Gambar hiasan
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (gambar kecil) beri amaran tindakan mahkamah dan pembatalan cukai jalan akan dikenakan mulai 1 Januari depan kepada pemilik kenderaan yang enggan melunaskan saman tertunggak. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 5.5 juta saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas pelbagai kesalahan jalan raya masih belum dijelaskan setakat ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 3.68 juta saman dikeluarkan di bawah notis JPJ P(22) manakala 1.38 juta lagi membabitkan sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS).

Sehubungan itu, Anthony Loke menggesa orang ramai yang mempunyai saman tertunggak supaya mengambil peluang menyelesaikannya melalui tawaran diskaun 50 peratus yang diberikan JPJ mulai 1 Nov hingga 30 Dis ini bagi mengelakkan tindakan mahkamah atau disenarai hitam Lesen Kenderaan Motor (LKM).

"Bermula 1 Januari depan, bagi kes yang perlu ke mahkamah, kita akan ke mahkamah, kalau tidak kita akan terus senarai hitam LKM, maksudnya tidak boleh perbaharui cukai jalan... sekiranya kesalahan melibatkan pemandu, kita akan senarai hitam lesen memandu juga tetapi biasanya, saman JPJ lebih kepada kesalahan kenderaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perhimpunan bulanan dan sambutan Deepavali anjuran kementerian itu di sini hari ini.

Mengulas mengenai perbezaan kadar diskaun antara JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menawarkan diskaun 70 peratus, Anthony Loke berkata, JPJ mengekalkan kadar 50 peratus kerana diskaun sama telah diberikan bagi tiga jenis kesalahan sejak awal tahun ini.

"Sebelum ini, kita beri diskaun 50 peratus untuk saman AwAS, Notis Temu Siasat dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23, jadi tidak adil untuk mereka yang dah bayar,” katanya.

Beliau juga berkata dalam tempoh empat hari pelaksanaan diskaun terbaharu, JPJ berjaya mengutip sebanyak RM7.36 juta bagi 56,156 saman yang dibayar.

Sebelum ini, Anthony Loke dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan bahawa kadar serta kaedah kompaun saman trafik JPJ dan PDRM akan diselaras bagi menyeragamkan penguatkuasaan undang-undang jalan raya.

Artikel Berkaitan:

Melalui penyelarasan itu, pesalah yang membuat bayaran dalam tempoh 1 hingga 15 hari selepas tarikh notis akan menikmati pengurangan sebanyak 50 peratus, 33 peratus bagi bayaran dalam tempoh 16 hingga 30 hari, kadar maksimum bagi tempoh 31 hingga 60 hari manakala selepas 61 hari, tindakan mahkamah dan senarai hitam akan dikenakan. - Bernama

Ringkasan AI

  • Sebanyak 5.5 juta saman JPJ masih belum dijelaskan
  • 3.68 juta saman dikeluarkan di bawah notis JPJ P(22) dan 1.38 juta lagi melibatkan sistem AwAS
  • JPJ menawarkan diskaun 50 peratus dari 1 Nov hingga 30 Dis untuk pelunasan saman
  • Mulai 1 Jan, kes yang perlu ke mahkamah akan dibawa ke mahkamah dan Lesen Kenderaan Motor serta lesen memandu akan disenarai hitam jika tidak diselesaikan
  • JPJ berjaya mengutip RM7.36 juta daripada 56,156 saman yang dibayar dalam empat hari pelaksanaan diskaun terbaharu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!