Gunalah duit saman untuk selenggara jalan raya

KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) memerlukan peruntukan tambahan sebanyak RM1.8 bilion bagi tujuan penyelenggaraan jalan raya yang disifatkan semakin mendesak, ketika kadar kemalangan di negara ini terus mencatat angka yang menakutkan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya memerlukan RM4 bilion pada tahun ini namun hanya menerima peruntukan RM2.2 bilion iaitu kekurangan sebanyak 45 peratus.
Antara punca utama kerosakan jalan di Malaysia adalah faktor cuaca seperti hujan lebat dan suhu panas serta kenderaan terlebih muatan.
Jalan raya seperti juga manusia, mempunyai jangka hayat. Biasanya selepas 10 hingga 20 tahun, jalan perlu diselenggara bagi memastikan ia selamat digunakan.
Berdasarkan data Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), sebanyak 13 peratus kemalangan adalah berpunca daripada keadaan jalan seperti ketiadaan garisan, jalan berlubang dan pencahayaan yang kurang mencukupi.
Walaupun faktor kecuaian manusia kekal penyumbang utama kepada kadar kemalangan iaitu sebanyak 80 peratus, namun isu jalan usang seperti Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli yang sudah berusia lebih 40 tahun, tidak boleh diambil mudah.
Apatah lagi angka kematian akibat kemalangan jalan raya kekal tinggi sekitar 6,000 orang setahun.
Justeru, sudah tiba masanya kerajaan menyalurkan kutipan hasil oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) termasuk cukai jalan dan saman trafik, selain kutipan saman trafik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada KKR untuk tujuan penyelenggaraan jalan raya.
Pada 2023, JPJ telah mencatatkan kutipan hasil mencecah RM5.07 bilion berbanding RM4.9 bilion pada 2022. Pada tahun sama, sebanyak 556,055 saman telah dikeluarkan oleh sistem kamera AWAS milik JPJ dengan anggaran nilai kompaun RM166 juta.
Bagaimanapun pada Mei lalu, jawatankuasa Kabinet telah bersetuju untuk menyalurkan 50 peratus daripada kutipan saman AWAS tersebut kepada Kementerian Pengangkutan dan bukannya KKR, bagi melaksanakan inisiatif keselamatan jalan raya.
Bagi PDRM pula, jumlah keseluruhan saman dikeluarkan dari 1990 hingga 2023 ialah 135.9 juta saman, membabitkan nilai lebih RM20.38 bilion atau purata RM617 juta setahun.
Kompaun ini selain bertujuan memberi kesedaran kepada pemandu, juga wajar digunakan untuk membantu menyelenggara jalan raya demi keselesaan dan keselamatan pengguna.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
