Trump masih belum 'move on' dengan Malaysia, sekali lagi puji Anwar

SHAH ALAM - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi dilihat belum ‘move on’ apabila memuji Malaysia dan Perdana Menterinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menyentuh mengenai keamanan serantau sambil menceritakan mengenai Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL Accord) antara Thailand dan Kemboja.
Menurut Trump, Malaysia cemerlang sebagai mediator antara kedua-dua negara berkenaan.
“Kami juga menikmati fasiliti terbaik di Malaysia kerana terdapat bahang di antara kedua-dua negara ini (termasuk cuaca). Malaysia memang luar biasa!
“Perdana Menteri (Anwar) juga seorang pemimpin yang amat bagus. Dalam masa dua hari sahaja, kami menandatangani perjanjian damai.
“Dua pemimpin bertemu dan mereka seperti kawan baik. Ia (momen) sesuatu yang sangat indah kerana berjuta nyawa mampu diselamatkan menerusi perjanjian ini, bahkan untuk beratus tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Korea Selatan pada Rabu.
Trump turut menzahirkan harapan agar keamanan kekal selamanya di kedua-dua negara berkenaan termasuk di Timur Tengah.
Pada Ahad lalu, Trump mengadakan kunjungan sulung ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang berkaitan yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Di luar sidang kemuncak itu, Trump dan Anwar menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Damai KL antara Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul serta Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet — satu usaha ke arah menamatkan pertikaian antara kedua-dua negara jiran itu yang berlarutan selama beberapa dekad.
Perjanjian damai yang ditandatangani di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 itu turut menyaksikan penubuhan Pasukan Pemerhati ASEAN bagi memantau usaha perdamaian serta memastikan kestabilan jangka panjang di kawasan sempadan.
Selain itu, Trump turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Anwar, di mana kedua-dua pemimpin berkenaan menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-AS dan Perkongsian Strategik Komprehensif yang bertujuan memperkukuh kerjasama dalam bidang teknologi, tenaga serta mineral penting.
Menerusi perkongsian Trump, majoriti wargamaya teruja dengan pujian pemimpin dunia itu yang sentiasa menzahirkan perkara positif sepanjang berada di Malaysia.
Ringkasan AI
- Donald Trump memuji Malaysia dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim
- Malaysia berperanan sebagai mediator cemerlang dalam Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja
- Perjanjian tersebut berhasil ditandatangani dalam tempoh dua hari, menyelamatkan berjuta nyawa
- Trump hadir ke Malaysia untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan menyaksikan penandatanganan Perjanjian Damai KL
- Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-AS dan Perkongsian Strategik Komprehensif ditandatangani, memperkukuh kerjasama teknologi, tenaga, dan mineral penting
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

