eDNA jejaki patin yang ‘hilang’

SHAH ALAM - Kos menggunakan teknologi DNA persekitaran (eDNA) bagi menjejaki patin muncung yang semakin ‘hilang’ dari sungai utama seperti Sungai Pahang dianggarkan mencecah antara RM150,000 hingga RM250,000, bergantung kepada bilangan serta kekerapan stesen persampelan.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Perikanan dan Akuakultur Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Tun Nurul Aimi Mat Jaafar berkata, kos itu merangkumi peralatan penapisan dan pengekstrakan DNA, bahan kimia makmal, pengurusan sampel di lapangan serta analisis makmal berteknologi tinggi menggunakan teknik Next-Generation Sequencing.
Menurut beliau, walaupun kos awalnya tinggi, eDNA sebenarnya lebih menjimatkan berbanding kaedah konvensional yang memerlukan penangkapan ikan menggunakan jaring atau pukat di banyak lokasi.
“Ini kerana eDNA hanya memerlukan air sungai sebagai sumber maklumat biologi. Kalau kita lihat, kos analisis makmal untuk mendapatkan jujukan DNA adalah lebih kurang RM600 bagi satu sampel,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelasnya, teknologi eDNA berfungsi dengan mengesan bahan genetik yang ditinggalkan oleh ikan di persekitarannya – termasuk sisik yang tertanggal, lendir badan, najis, sisa makanan atau sel kulit.
Sisa ini dibawa arus dan boleh dikesan walaupun ikan tersebut tidak lagi berada di lokasi persampelan ketika sampel diambil.
“Tempoh keseluruhan kajian eDNA lazimnya mengambil masa antara enam hingga 24 bulan. Ini termasuk fasa persediaan, persampelan air di lapangan, analisis di makmal serta pemprosesan dan tafsiran data genetik.
“Buat masa ini, eDNA lebih sesuai untuk mengesahkan kehadiran atau ketiadaan spesies dan untuk pemantauan kepelbagaian ikan, bukannya untuk menganggarkan stok populasi dengan sangat tepat,” katanya.
Sinar Ahad minggu lalu melaporkan Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan Glami Lemi, Dr Haslawati Baharuddin berkata, teknologi terkini seperti eDNA amat sesuai digunakan sebagai kaedah kajian lanjutan bagi menjejaki patin muncung di Sungai Pahang yang di ambang kepupusan.
Ringkasan AI
- Kos menggunakan teknologi DNA persekitaran (eDNA) untuk menjejaki patin muncung dianggarkan antara RM150,000 hingga RM250,000
- Kos ini merangkumi peralatan penapisan dan pengekstrakan DNA, bahan kimia, pengurusan sampel dan analisis makmal tinggi
- eDNA lebih menjimatkan berbanding kaedah konvensional yang menggunakan jaring atau pukat
- Teknologi eDNA mengesan bahan genetik yang ditinggalkan oleh ikan di persekitarannya untuk mengesahkan kehadiran atau ketiadaan spesies
- Tempoh keseluruhan kajian eDNA mengambil masa antara enam hingga 24 bulan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
