Data pendaratan pantau spesies terancam

Laporan Sinar Ahad berhubung kepupusan patin muncung yang menjadi petunjuk ekosistem Sungai Pahang berdepan tekanan serius.Gambar kecil: Shazana
Laporan Sinar Ahad berhubung kepupusan patin muncung yang menjadi petunjuk ekosistem Sungai Pahang berdepan tekanan serius.Gambar kecil: Shazana
A
A
A

SHAH ALAM - Data pendaratan yang direkodkan Jabatan Perikanan (DoF) merupakan kaedah penting dalam memantau secara menyeluruh spesies ikan terancam di perairan negara.

Pensyarah Fakulti Sains Perikanan dan Akuakultur, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Shazana Sharir berkata, nelayan merupakan komuniti pemantau paling dekat dengan sumber dan laporan mereka haruslah diambil serius dengan melakukan tinjauan saintifik oleh pihak berwajib.

Menurut beliau, tanda-tanda ancaman hanya boleh disahkan menerusi kajian dan pemantauan berterusan.

“Adalah sangat penting untuk kita menggalakkan nelayan darat di seluruh Malaysia melaporkan pendaratan mereka agar pemantauan menyeluruh serta tanda-tanda ancaman dapat ditegah sebelum berlakunya keruntuhan populasi.

“Antara tanda-tanda mudah bagi memerhatikan sama ada spesies ikan lain terancam adalah kurangnya pendaratan ikan berbanding usaha tangkapan yang dilakukan dari masa ke masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Sinar Ahad mengenai kepupusan patin muncung di habitat asal yang menjadi petunjuk bahawa ekosistem Sungai Pahang berdepan tekanan serius.

Mengulas lanjut, Shazana yang juga pakar pengkhususan ekologi ikan air tawar itu berkata, perubahan iklim boleh mengubah pola hujan dan kesinambungannya menyebabkan perubahan suhu dan paras sungai.

“Ikan adalah haiwan ektoterma yang mana pengawalan suhu badan bergantung kepada persekitarannya dan kenaikan suhu air boleh mengubah fisiologi sesuatu spesies ikan, menyebabkan ikan stres dan boleh merisikokan kemandirian spesiesnya.

“Perubahan paras sungai menyebabkan terjadinya kawasan cetek, ditambah pula kesan pengorekan pasir dan penebangan hutan di hilir yang menyebabkan pengenapan sedimen dan boleh menyebabkan aliran sungai terputus sekali gus menyukarkan migrasi ikan ke habitat-habitat kritikal untuk bertelur.

Artikel Berkaitan:

“Bagi patin muncung yang bersifat potamodromous (ikan yang berhijrah ke hulu dan hilir sungai), keadaan ini akan menyukarkan ia untuk berhijrah ke hulu sungai dan anak-anak sungai untuk bertelur,” ujarnya.

Tambahnya, punca kemerosotan bilangan dan spesies tempatan tidak boleh dipersalahkan kepada satu faktor sahaja berikutan isu alam sekitar dan aktiviti manusia tidak boleh dipisahkan.

“Misalnya, pengenalan spesies asing berbahaya ke perairan tempatan, perubahan iklim, penangkapan ikan berlebihan secara tidak terkawal dan aktiviti pencemaran yang mana semuanya berlaku secara serentak,” ujarnya.

Shazana berkata, semakan kepada dasar dan polisi konservasi bagi melindungi perikanan tempatan merupakan keperluan kerana dinamik ancaman spesies ikan tempatan sentiasa berubah dan pelbagai.

“Perlindungan kepada spesies ikan patin muncung akan membantu melindungi bukan sahaja spesies ikan tempatan lain yang hidup di dalam habitat sama, malah dapat melindungi keseluruhan ekosistem,” jelasnya.

Ringkasan AI

  • Data pendaratan yang direkodkan Jabatan Perikanan penting dalam memantau spesies ikan terancam
  • Nelayan komuniti pemantau penting dan laporan mereka perlu tinjauan saintifik
  • Tanda-tanda ancaman pada spesies ikan terancam boleh dikenal pasti melalui pemantauan menyeluruh
  • Perubahan iklim dan aktiviti manusia seperti pengorekan pasir dan penebangan hutan mempengaruhi habitat ikan
  • Perlindungan kepada spesies seperti patin muncung penting untuk keseluruhan ekosistem

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!