Insentif untuk pemandu e-hailing bandar

Barjoyai
Barjoyai
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran supaya mewujudkan satu insentif khas bagi pemandu e-hailing di kawasan bandar yang berdepan penggunaan bahan api lebih tinggi akibat kesesakan lalu lintas.

Pakar ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, langkah itu boleh diperincikan dengan mengambil kira beberapa faktor termasuk latar belakang pemandu e-hailing, jenis kenderaan, dan jarak tempat tinggal ke lokasi kerja.

“Insentif sebegini membolehkan setiap pemandu diberikan perhatian dan memastikan mereka tidak disisihkan kerana perbezaan faktor yang ada di latar belakang mereka.

“Kita mungkin boleh kembangkan data dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) untuk mengetahui maklumat terperinci mengenai pemandu ini. Contohnya, mungkin ada individu yang bekerja di kawasan bandar tetapi setiap hari datang dari luar bandar. Sepatutnya faktor berkenaan juga diambil kira,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Sebelum ini, kerajaan telah memperkenalkan skim kelayakan berperingkat bagi inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) khusus untuk pemandu e-hailing, yang akan diaktifkan pada pertengahan setiap bulan.

Kementerian Kewangan (MoF) menerusi kenyataan memaklumkan bahawa langkah tersebut merupakan sebahagian daripada penambahbaikan dalam usaha memastikan pelaksanaan subsidi bersasar yang lebih saksama dan inklusif, demi memelihara mata pencarian pemandu e-hailing.

No Image Caption

Menurut Barjoyai, selain jumlah liter bahan api, beberapa indikator tambahan juga perlu dipertimbangkan dalam menentukan pelaksanaan subsidi, termasuk jarak perbatuan dan tempoh pemanduan sesebuah kenderaan.

Artikel Berkaitan:

“Kita perlukan perincian lebih mendalam berhubung perkara itu pada masa akan datang, dengan mengambil kira bukan sahaja jumlah liter yang dibeli tetapi juga jarak perbatuan dan tempoh pemanduan yang dilakukan.

“Jika kita ambil kira dua faktor ini, mungkin penyasaran subsidi itu menjadi lebih adil,” ujarnya.

Beliau menambah, meskipun tindakan penyasaran subsidi dapat mengurangkan ketirisan, namun terdapat risiko manipulasi, seperti pemandu yang mungkin mengubah data perjalanan untuk mendapatkan subsidi lebih tinggi.

Selain itu, sistem tersebut juga boleh menimbulkan beban pentadbiran kerana memerlukan mekanisme pemantauan jarak perjalanan yang telus dan tepat.

“Situasi ini sama seperti kadar bayaran teksi suatu ketika dahulu, apabila pemandu mengeluh kerana kadar caj berdasarkan jarak menyebabkan mereka menanggung kos minyak lebih tinggi sedangkan pendapatan tidak sepadan.

“Oleh itu, walaupun langkah tersebut sesuai, pelaksanaannya memerlukan perincian bagi memastikan semua pihak diambil kira dan tidak teraniaya,” katanya.

Ringkasan AI

  • Kerajaan disarankan cipta insentif khas untuk pemandu e-hailing di kawasan bandar kerana penggunaan bahan api tinggi
  • Langkah itu perlu mengambil kira faktor seperti latar belakang pemandu, jenis kenderaan, dan jarak tempat tinggal ke tempat kerja
  • Sebelum ini, kerajaan perkenalkan skim Budi Madani RON95 untuk pemandu e-hailing
  • Pengiraan subsidi harus mempertimbangkan jarak perbatuan dan tempoh pemanduan
  • Risiko manipulasi data dan beban pentadbiran boleh timbul dengan sistem subsidi yang dirinci

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!