Pemandu e-hailing Sabah mohon semakan semula syarat kelayakan BUDI95

PENS mahu dialog dengan kerajaan untuk membincangkan pelaksanaan BUDI95 yang lebih adil dan realistik.
PENS mahu dialog dengan kerajaan untuk membincangkan pelaksanaan BUDI95 yang lebih adil dan realistik.
A
A
A

SHAH ALAM - Syarat kelayakan antara 2,000 hingga 5,000 kilometer (km) bagi kuota tambahan 300 liter BUDI Madani RON95 (BUDI95) disifatkan tidak selaras dengan realiti operasi pemandu e-hailing di Sabah.

Persatuan Penghantar dan Penghantar E-Hailing Sabah (PENS)  berpandangan, syarat maksimum 5,000km wajar diturunkan kepada paras yang lebih munasabah agar lebih ramai pemandu di Sabah layak menikmati manfaat.

"Pada masa yang sama, had kelayakan bagi penambahan kuota 500 liter juga perlu disemak semula supaya lebih realistik dengan situasi sebenar di lapangan.

"Kos operasi pemandu e-hailing di Sabah adalah lebih tinggi, mengambil kira faktor penyelenggaraan kenderaan dan masa menunggu yang panjang antara tempahan.

"Keadaan ini menjadikan bantuan BUDI95 dalam bentuk sedia ada tidak memberi impak signifikan terhadap kesejahteraan pemandu di Sabah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah kenyataan itu, ramai pemandu separuh masa turut terkesan kerana syarat lebih memberi kelebihan kepada pemandu sepenuh masa.

"Pemandu separuh masa juga merupakan sebahagian daripada ekosistem e-hailing yang membantu memastikan perkhidmatan kekal beroperasi di kawasan luar bandar dan pinggir bandar.

"PENS turut memohon penjelasan segera daripada pihak kerajaan berhubung pelaksanaan kuota tambahan kepada sektor p-hailing," ujarnya.

Mengulas lebih lanjut, PENS memaklumkan, sehingga kini, penghantar p-hailing di Sabah melaporkan belum menerima sebarang kemas kini atau pengesahan rasmi, walaupun pengumuman peluasan manfaat telah dibuat.

Artikel Berkaitan:

"Kejelasan berhubung perkara ini amat penting bagi mengelakkan kekeliruan dan memastikan pelaksanaan dasar dilaksanakan secara adil serta telus.

"Keberkesanan dasar seperti BUDI95 tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah liter atau jarak perjalanan semata-mata, tetapi mengambil kira mekanisme pelaksanaan dan keadilan pengagihan yang mencerminkan realiti di setiap negeri," katanya.

Sehubungan itu, PENS mencadangkan agar kerajaan mengadakan sesi dialog rasmi dengan wakil komuniti pemandu e-hailing Sabah, bagi membincangkan mekanisme pelaksanaan BUDI95 berdasarkan realiti operasi sebenar di lapangan.

"Kami yakin pendekatan rundingan dan libat urus yang inklusif, kerajaan dapat menambah baik dasar ini dengan lebih adil, realistik dan berkesan selaras dengan semangat Budi Madani yang menekankan kesejahteraan rakyat di semua peringkat.

"Selain itu, kami mengingatkan tiada mana-mana parti politik menunggang isu ini demi mendapatkan perhatian berikutan bahang pilihan raya negeri," tambahnya.

Ringkasan AI

  • Pemandu e-hailing Sabah mohon syarat kelayakan BUDI95 disemak semula kerana tidak realistik dengan operasi mereka
  • Persatuan Penghantar dan Penghantar E-Hailing Sabah (PENS) cadang syarat kelayakan dikurangkan agar lebih ramai layak
  • PENS nyatakan kos operasi lebih tinggi di Sabah menyebabkan bantuan BUDI95 kurang berkesan
  • Pemandu separuh masa juga terkesan, sedangkan mereka penting dalam menyediakan perkhidmatan di kawasan luar bandar
  • PENS mahu dialog dengan kerajaan untuk membincangkan pelaksanaan BUDI95 yang lebih adil dan realistik

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!