Penambahan kuota BUDI95 800 liter tidak realistik, membebankan - RPM

SHAH ALAM - Penambahan kuota BUDI95 kepada 800 liter untuk 5,000 kilometer (km) sebulan bagi sektor e-hailing di seluruh negara dilihat tidak realistik dan membebankan.
Rakan Penghantar Melaka (RPM) berkata, walaupun had minimum bagi penambahan kuota 300 liter telah diturunkan kepada 2,000 kilometer, pelaksanaannya tetap memberi kesan kepada pemandu e-hailing separuh masa.
"Kami menghargai keprihatinan kerajaan namun adalah tidak wajar sekiranya kerajaan hanya menumpukan perhatian kepada pemandu sepenuh masa sedangkan pemandu separuh masa turut memainkan peranan penting dalam menyokong ekosistem industri e-hailing.
"Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada pemandu di Melaka, malah juga kepada komuniti pemandu di seluruh Malaysia yang berdepan cabaran kos operasi tinggi termasuk penyelenggaraan kenderaan dan insurans e-hailing," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu katanya, sehingga kini sektor p-hailing masih belum menerima kuota tambahan BUDI95, walaupun Kerajaan telah mengumumkan bahawa penambahan kuota tersebut turut diperluaskan kepada sektor berkenaan.
"Situasi ini menimbulkan kekeliruan dan kekecewaan dalam kalangan penghantar yang saban hari bertugas di lapangan.
"RPM berpandangan bahawa kelewatan pelaksanaan ini perlu diberi perhatian segera, agar penghantar p-hailing tidak terpinggir dalam pelaksanaan dasar BUDI95 dan menerima manfaat yang sama rata seperti sektor e-hailing.
"Kami berpendapat bahawa sebarang penambahbaikan terhadap inisiatif BUDI95 perlu berpaksikan kepada realiti sebenar di lapangan, agar manfaatnya benar-benar dirasai oleh semua pihak dan tidak menjadi beban tambahan kepada pemandu," katanya.
Sehubungan itu, RPM mencadangkan agar satu sesi dialog rasmi diadakan antara Kerajaan, syarikat penyedia platform e-hailing dan p-hailing serta wakil komuniti pemandu bagi membincangkan secara terbuka mekanisme terbaik sebelum pelaksanaan penuh dasar ini dibuat.
"RPM yakin bahawa melalui pendekatan dialog dan libat urus yang inklusif, kerajaan dapat menambah baik dasar ini dengan lebih adil, berkesan dan sejajar dengan semangat BUDI MADANI demi memastikan kesejahteraan pemandu dan penghantar di seluruh negara benar-benar terbela," katanya.
Ringkasan AI
- Penambahan kuota BUDI95 kepada 800 liter untuk 5,000 kilometer sebulan bagi sektor e-hailing dilihat tidak realistik dan membebankan
- Had minimum bagi penambahan kuota 300 liter telah diturunkan kepada 2,000 kilometer tetapi pelaksanaannya memberi kesan kepada pemandu e-hailing separuh masa
- Keadaan ini memberi kesan kepada pemandu di Melaka dan komuniti pemandu di seluruh Malaysia yang berdepan cabaran kos operasi tinggi
- Sektor p-hailing masih belum menerima kuota tambahan BUDI95 walaupun telah diumumkan akan diperluaskan kepada sektor tersebut
- Rakan Penghantar Melaka mencadangkan sesi dialog rasmi antara Kerajaan, penyedia platform e-hailing dan p-hailing serta wakil komuniti pemandu untuk membincangkan mekanisme terbaik.policy
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
