Penghantar, enam NGO tuntut penjelasan terperinci mekanisme baharu BUDI95

SHAH ALAM - Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) menggesa penjelasan yang terperinci daripada pihak kerajaan untuk melaksanakan mekanisme Budi Madani RON95 (BUDI95) bagi tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pemandu e-hailing.
Penghantar bersama enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili p-hailing dan e-hailing berkata, penjelasan terlalu umum boleh menyebabkan salah faham serta pelaksanaan yang tidak seragam di antara negeri dan kawasan operasi.
"Kami mengalu-alukan dan menghargai usaha kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MOF) yang sedang meneliti semula mekanisme pelaksanaan inisiatif BUDI95 bagi sektor e-hailing dan p-hailing.
"Kami berharap supaya perkara seperti sebelum ini tidak berulang dan kerajaan memberi angka yang lebih jelas mengenai kuota tambahan serta kriteria pelaksanaan," katanya dalam satu kenyataan bersama pada Isnin.
Enam persatuan terbabit ialah Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia, Persatuan Penghantar dan Penghantar E-Hailing Sabah, Persatuan Rakan Penghantar Melaka, Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak dan Persatuan Rakan Penghantar Kedah.
Terdahulu, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying di Dewan Rakyat pada Isnin memaklumkan kerajaan kini dalam proses mengkaji semula mekanisme pelaksanaan BUDI95 bagi sektor e-hailing dengan mekanisme baharu tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.
Mengulas mengenai kenyataan Hui Ying itu, kenyataan tersebut menambah, penjelasan terperinci daripada pihak kerajaan amat diperlukan bagi memastikan pelaksanaan mekanisme baharu berkenaan tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pemandu e-hailing.
Dalam masa yang sama, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berkata, kerajaan telah berjumpa dengan platform e-hailing bersama Kementerian Pengangkutan untuk melihat tahap kecukupan daripada segi hak kelayakan bagi pihak e-hailing.
Tambah kenyataan itu, antara gesaan utama Penghantar adalah agar kerajaan menambah kuota BUDI95 bagi sektor e-hailing kepada sekurang-kurangnya 1,200 liter sebulan dan memansuhkan syarat minimum jarak perjalanan 3,000 kilometer (KM) yang didakwa menyukarkan ramai pemandu untuk menikmati manfaat program tersebut.
"Kriteria jarak minimum tersebut sukar dipenuhi terutamanya bagi pemandu sepenuh masa di kawasan luar bandar dan bandar kecil seperti di Kedah, di mana permintaan perjalanan jauh lebih rendah berbanding di Lembah Klang.
"Ada juga pemandu yang perlu menjaga ahli keluarga tidak sihat, sekali gus membataskan jumlah perjalanan dan menafikan hak kebajikan kumpulan ini," katanya.
Selain itu, mereka turut menggesa Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) agar bertindak tegas terhadap syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing (EHO) yang gagal atau lewat menyerahkan maklumat pemandu kepada kerajaan.
Menurutnya, tindakan sedemikian menjejaskan kelancaran pelaksanaan dasar kerajaan dan menafikan hak golongan pemandu e-hailing untuk menerima bantuan sewajarnya.
"Maklumat kami menunjukkan masih ada EHO yang lambat atau gagal menyerahkan data kepada kerajaan. Isu ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan kebajikan ribuan pemandu di seluruh negara," katanya.
Dalam masa sama, Penghantar turut memohon agar kerajaan memberikan maklum balas rasmi mengenai pelaksanaan BUDI95 bagi sektor p-hailing memandangkan ramai penghantar makanan dan barangan masih belum menerima kuota tambahan walaupun MOF sebelum ini menyatakan pembayaran tambahan turut merangkumi sektor tersebut.
Mereka juga berharap kerajaan terus meneliti kebajikan semua pemandu dan penghantar e-hailing serta p-hailing selaras dengan semangat keprihatinan dan dasar inklusif kerajaan terhadap rakyat.
Ringkasan AI
- Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia bersama enam NGO lain menggesa penjelasan terperinci mengenai pelaksanaan BUDI95 dari kerajaan untuk mengelakkan kekeliruan
- Penjelasan yang terlalu umum tentang BUDI95 dapat menyebabkan salah faham dan pelaksanaan tidak seragam antara negeri
- Mereka mengalu-alukan usaha Kementerian Kewangan meninjau semula mekanisme BUDI95 dan meminta ketelusan mengenai kuota tambahan dan kriteria pelaksanaan
- Penghantar meminta kuota BUDI95 sekurang-kurangnya 1,200 liter sebulan dan pemansuhan syarat minimum jarak 3,000km yang menyulitkan pemandu dari kawasan luar bandar
- Mereka juga menggesa tindakan tegas terhadap syarikat e-hailing yang lambat menyerahkan maklumat pemandu kepada kerajaan, serta memohon klarifikasi mengenai pelaksanaan BUDI95 bagi p-hailing
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

