Perak arah tiga syarikat henti aktiviti perlombongan

Saarani (dua dari kanan) bersama Shamsul Azri (dua dari kiri) ketika melawat ruang pameran disediakan sempena Program Taat Setia Madani Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Ipoh pada Rabu.
Saarani (dua dari kanan) bersama Shamsul Azri (dua dari kiri) ketika melawat ruang pameran disediakan sempena Program Taat Setia Madani Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Ipoh pada Rabu.
A
A
A

IPOH – Perak telah mengarahkan tiga syarikat perlombongan di kawasan Hulu Perak menghentikan sementara operasi susulan insiden perubahan warna air Sungai Perak menjadi kebiruan di Kampung Sungai Papan, Gerik baru-baru ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, arahan itu dikeluarkan selepas kerajaan negeri menerima laporan awal berhubung kejadian tersebut yang dipercayai berpunca daripada aktiviti perlombongan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim bersama beberapa jabatan berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut diarah menjalankan siasatan di lokasi terlibat.

"Apabila saya menerima laporan mengenai air Sungai Perak di kawasan Hulu menjadi biru, saya terus minta Setiausaha Kerajaan Negeri dan ketua-ketua jabatan berkaitan turun padang untuk menyiasat punca sebenar.

"Kita tunggu hasil dapatan rasmi mereka sebelum membuat sebarang kenyataan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas Program Taat Setia Madani Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Ipoh di sini pada Rabu.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Saarani berkata, laporan penuh hasil siasatan akan dibentangkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri pada Khamis sebelum kenyataan rasmi dikeluarkan kepada umum.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan berdasarkan laporan awal, tiga syarikat perlombongan dikenal pasti mempunyai lesen operasi yang sah.

Katanya, pengoperasian semula lombong berkenaan hanya akan dibenarkan hingga kerajaan negeri berpuas hati dengan tahap keselamatan dan pematuhan peraturan yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, berdasarkan laporan awal terdapat ikan yang mati berkemungkinan disebabkan pencemaran di lokasi berkenaan.

Jelasnya, bagaimanapun keadaan air di kawasan tersebut kini kembali jernih seperti biasa.

Media sebelum ini melaporkan JAS Perak mengesahkan aktiviti pelepasan efluen daripada dua kawasan perlombongan di bahagian hulu negeri itu adalah punca utama perubahan warna air Sungai Perak menjadi kebiruan.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai perubahan warna air sungai berkenaan yang didapati bertukar menjadi biru seperti air laut.

Perubahan warna itu didakwa berpunca daripada kegiatan perlombongan di kawasan bukit berhampiran hulu Sungai Rui yang merupakan salah satu anak sungai membentuk lembangan Sungai Perak.

Ringkasan AI

  • Perak arah tiga syarikat perlombongan hentikan sementara operasi
  • Ini susulan insiden perubahan warna air Sungai Perak menjadi kebiruan
  • Arahan dikeluarkan setelah kerajaan negeri menerima laporan awal
  • Kajian mendapati syarikat perlombongan memiliki lesen operasi sah
  • Kondisi air kembali jernih selepas insiden perubahan warna

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!