Tular air bertukar kebiruan, rekod pemantauan kualiti air baik - JAS

IPOH - Rekod pemantauan Indeks Kualiti Air (WQI) Sungai Perak di Kampung Sungai Papan, Gerik yang tular kerana bertukar kebiruan menunjukkan tahap baik, menandakan air bersih dan bebas pencemaran.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, data pemantauan terkini bertarikh 9 Oktober itu menunjukkan WQI berada pada skor 93 iaitu dalam julat Kelas I hingga IIA.
Bagaimanapun menurutnya, ujian persampelan air akan dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar perubahan warna tersebut.
"Punca sebenar hanya dapat dipastikan selepas sampel dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.
"Pegawai penyiasat telah ke lokasi, tetapi kerja persampelan tidak dapat dilakukan kerana hujan lebat dan faktor keselamatan, termasuk jambatan yang hanya mempunyai penghadang separas lutut," katanya kepada pemberita pada Rabu.
Pada Selasa, tular di media sosial mengenai perubahan warna air di hulu Sungai Perak dekat Kampung Sungai Papan, Gerik yang didapati bertukar menjadi biru seperti air laut.
Perubahan warna itu didakwa berpunca daripada kegiatan perlombongan di kawasan bukit berhampiran hulu Sungai Rui yang merupakan salah satu anak sungai membentuk lembangan Sungai Perak.
Mohammad Ezanni menambah, berdasarkan makumat daripada penduduk, air sungai kini dilaporkan telah kembali kepada warna asal.
"Pengambilan sampel akan dijalankan apabila keadaan cuaca kembali baik," katanya.
Ringkasan AI
- Sungai Perak di Kampung Sungai Papan, Gerik bertukar kebiruan tetapi menunjukkan indeks kualiti air yang baik
- Data terkini menunjukkan WQI berada pada skor 93 dalam julat Kelas I hingga IIA
- Ujian persampelan air akan dilakukan untuk mengenal pasti punca sebenar perubahan warna
- Perubahan warna didakwa berpunca dari kegiatan perlombongan
- Air sungai telah kembali kepada warna asal berdasarkan laporan penduduk
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

