Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026-2030 perkasa kewangan rakyat

Malaysia maju setapak lagi dengan memperkukuh agenda kesejahteraan rakyat menerusi Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026–2030 (NS2.0), sebuah kerangka holistik yang digagaskan berlandaskan visi lebih luas dan pendekatan yang lebih bersepadu.
Menampilkan tema ‘Membina Masa Depan Kewangan yang Kukuh’, NS2.0 menggariskan lima fokus strategik yang dirangka bagi membantu rakyat Malaysia menguruskan kewangan dengan lebih baik merangkumi semua peringkat umur.
Ia merangkumi fokus bagi menggalakkan perancangan kewangan berhemat dan persediaan untuk persaraan, memupuk pengurusan hutang yang bijak dan bertanggungjawab serta menjamin masa depan kewangan melalui langkah perlindungan risiko.
Selain itu, di bawah fokus strategik berkenaan juga menggalakkan penggunaan perkhidmatan kewangan digital secara selamat, yakin dan bermakna serta mendorong pelaburan bagi menjana kekayaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, literasi kewangan perlu dijadikan agenda utama negara bagi menjamin pertumbuhan ekonomi yang mampan serta inklusif, di samping melindungi rakyat daripada ancaman penipuan kewangan dan pelaburan berisiko.
Menurutnya, tanpa pengetahuan kewangan yang kukuh, masyarakat berisiko terjebak dengan skim pelaburan meragukan serta penipuan meskipun berpendidikan tinggi.
“Manusia ada kelemahan, melihat keuntungan tanpa melihat kepada angka dan data kerana tiada latihan atau kecelikan yang diperlukan, ada yang melihat pasaran saham seperti kasino atau terpedaya dengan skim kewangan mudah.
“Bagaimana untuk kita jayakan NS2.0? Perlu terus beri kefahaman, dalam negara Madani ini, kita tidak mahu ini (literasi kewangan) hanya dimanfaatkan oleh kelompok yang kecil iaitu golongan elit.
“Kita mahu melebarkan merentas semua daerah, kaum, termasuk golongan miskin dan sederhana. Seperti mana peranan insitusi bank yang menjelajah ke seluruh pelosok tanah air,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan NS2.0 dan Bulan Literasi Kewangan (FLM) 2025 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia.
Beliau turut melancarkan Program ‘Skuad Celik Kewangan’ FLM2025 yang menampilkan kenderaan perkhidmatan bergerak yang dikendalikan oleh ahli-ahli Jaringan P endidikan Kewangan (FEN).
Sementara itu, Permodalan Nasional Berhad (PNB) turut meningkatkan pelaksanaan inisiatif Celik MADANI, sebuah program dengan kerjasama kerajaan, yang menyasarkan pelajar di semua 20 universiti awam dan empat universiti berkaitan kerajaan di seluruh Malaysia.
Kenderaan perkhidmatan bergerak akan berkunjung ke 88 lokasi di seluruh negara untuk berkongsi pendidikan kewangan dan tip-tip praktikal secara langsung dengan rakyat, termasuk golongan orang kurang upaya (OKU) dan usahawan mikro luar bandar.

Sehubungan itu, Anwar menzahirkan keyakinan Malaysia mampu melaksanakan NS2.0 menerusi kerjasama erat semua pihak dengan berkesan.
“Kita tidak ada pilihan selain bekerja keras dan memastikan tiada masyarakat yang tersisih. Dengan sumber serta kepakaran yang ada, saya yakin Malaysia mampu melangkah lebih jauh.
“Celik kewangan bermakna juga celik ekonomi, celik sejarah dan celik realiti kehidupan. Tanpa pengetahuan, masyarakat mudah terdedah kepada kedangkalan yang membawa perpecahan kaum, agama dan ekonomi,” katanya.
Tiga teras utama NS2.0 saling melengkapi
Sementara itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, NS2.0 berteraskan tiga keutamaan yang saling melengkapi iaitu keterangkuman, pendigitalan dan pemantauan.
Jelas beliau, keterangkuman memastikan setiap segmen masyarakat, tanpa mengira umur, pendapatan atau lokasi, mendapat manfaat, manakala pendigitalan membuka ruang kepada pendidikan kewangan yang lebih mudah diakses, interaktif dan berkesan dari segi kos.
“Sementara itu, pemantauan melalui indikator atau penunjuk prestasi yang jelas, akan menjamin usaha semua pihak bergerak seiring dan hasilnya dapat diukur secara telus.
“Dengan keseimbangan tiga teras ini, kita yakin strategi baharu ini mampu mencetuskan anjakan besar pada tahap literasi kewangan negara serta menonjolkan kekuatan Malaysia dalam kewangan Islam,” katanya.
Oleh demikian ujar beliau, BNM akan menubuhkan Pejabat Koordinasi Kebangsaan pada Januari 2026 bagi menyelaras dan memperkukuh inisiatif literasi kewangan di seluruh negara.
Menurutnya, pejabat tersebut akan menempatkan wakil daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), sekali gus membolehkan usaha pendidikan kewangan digerakkan secara lebih tersusun dan berimpak tinggi.
“Literasi kewangan merupakan usaha seluruh negara dan amanah ini tidak boleh dipikul oleh satu pihak sahaja. Kejayaan hanya akan dicapai jika kerajaan, pengawal selia, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), pendidik, media dan masyarakat sama-sama berganding bahu.
“Kejayaannya bergantung pada tindakan kita bersama dalam menyemai kefahaman, mengubah sikap dan membudayakan amalan kewangan yang sihat dalam kehidupan seharian rakyat.
“Setiap individu yang lebih celik kewangan menjadi satu lagi batu loncatan menuju Malaysia yang lebih kukuh,” tegas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
