Pulau Pinang cipta sejarah, cip FPGA pertama Malaysia

Kon Yeow (tengah) menunjukkan cip FPGA pertama negara selepas sidang akhbar pada Rabu.
Kon Yeow (tengah) menunjukkan cip FPGA pertama negara selepas sidang akhbar pada Rabu.
A
A
A

GEORGE TOWN - Malaysia melakar sejarah membanggakan apabila syarikat pemula tempatan, Silicon X Sdn Bhd (Silicon X) berjaya membangunkan cip Field Programmable Gate Array (FPGA) pertama negara dan di Asia Tenggara.

Pencapaian itu diumumkan oleh Silicon X, salah satu syarikat di bawah inisiatif Penang Silicon Design @5km+ (PSD@5KM+) yang diwujudkan bagi membangunkan ekosistem reka bentuk litar bersepadu (IC) tempatan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kejayaan menghasilkan cip FPGA buatan tempatan itu membuktikan keupayaan tenaga kejuruteraan Malaysia bersaing di peringkat antarabangsa.

Selain itu katanya, ia mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi import dan menutup jurang kritikal dalam rantaian nilai semikonduktor negara.

"FPGA merupakan cip berprestasi tinggi dan boleh diprogram semula, digunakan secara meluas untuk aplikasi masa nyata berlatensi rendah dalam sektor seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, telekomunikasi, pusat data, automotif, kesihatan serta automasi industri.

"Kejayaan Silicon X adalah simbol aspirasi negeri dalam menghasilkan cip made by Malaysia yang direka dan dibangunkan sepenuhnya di tanah air," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, Komtar di sini pada Rabu.

Tambah Kon Yeow, Pulau Pinang berbangga menjadi tuan rumah kepada inovator seperti Silicon X yang merealisasikan impian menghasilkan cip buatan Malaysia.

"Ini membuktikan kemampuan negeri menyokong inovasi teknologi tinggi, seiring Strategi Semikonduktor Negara.

"Pencapaian itu juga memberikan suntikan penting kepada usaha negeri memperkukuh kedudukan dalam rantaian bekalan global semikonduktor dengan Pulau Pinang kini menyumbang kira-kira 60 peratus eksport elektrik dan elektronik (E&E) negara," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, inisiatif PSD@5KM+ terus mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab reka bentuk litar bersepadu (IC) negara apabila dua syarikat tempatan baharu menyertai program inkubasi di Silicon Research & Incubation Space @GBS TechSpace.

Dua syarikat terbabit ialah Channel Microsystems dan Tenasic Technology, sekali gus menjadikan keseluruhan tujuh syarikat tempatan berada di bawah inisiatif itu setakat ini.

Kon Yeow berkata, Channel Microsystems membangunkan teknologi pengaut tenaga Radio Frekuensi-ke-Arus Terus (RF-to-DC) berasaskan CMOS kos rendah manakala Tenasic Technology pula merupakan syarikat berpengalaman dalam reka bentuk IC berkeluasan tinggi termasuk ASIC, SoC, IP dan perisian terbenam.

"Selaras sokongan diberikan kepada kumpulan pertama, kedua-dua syarikat berkenaan turut menerima bantuan subsidi termasuk kos sewaan, utiliti, perkhidmatan Multi-Project Wafer (MPW), ujian dan pembangunan bakat.

"Setakat ini, lebih RM5 juta telah disalurkan kepada peserta kumpulan pertama sebagai sebahagian usaha memperkukuh sektor reka bentuk IC tempatan dan memacu pembangunan bakat dalam industri semikonduktor negara," ujarnya.

Tambah beliau, Pulau Pinang mampu melahirkan produk semikonduktor bertaraf dunia jika diberi platform dan sokongan sewajarnya.

“PSD@5KM+ memainkan peranan penting dalam merealisasikan visi ini. Saya berharap lebih banyak kejayaan dicapai melalui inisiatif ini agar Pulau Pinang terus menjadi hab reka bentuk IC negara,” katanya.

Ringkasan AI

  • Pulau Pinang menerusi Silicon X Sdn Bhd cipta sejarah lahirkan cip FPGA pertama Malaysia dan Asia Tenggara
  • Kejayaan ini mengukuhkan Pulau Pinang sebagai hab semikonduktor global
  • FPGA digunakan dalam pelbagai aplikasi termasuk AI, telekomunikasi dan kesihatan
  • Inisiatif PSD@5KM+ mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang dalam reka bentuk litar bersepadu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!