Ghazala Hashmi cipta sejarah wanita Muslim pertama jadi Timbalan Gabenor Virginia

Ghazala Hashmi (tengah) berswafoto bersama seorang penduduk. -Agensi
Ghazala Hashmi (tengah) berswafoto bersama seorang penduduk. -Agensi
A
A
A

VIRGINIA – Sejarah baharu tercipta di Amerika Syarikat (AS) apabila Senator Negeri Virginia, Ghazala Hashmi dipilih sebagai Timbalan Gabenor baharu negeri itu, menjadikannya wanita Muslim pertama dalam sejarah AS yang memenangi jawatan peringkat negeri.

Kemenangan bersejarah tersebut diumumkan oleh NBC News pada Rabu selepas Hashmi, calon daripada Parti Demokrat memperoleh kelebihan besar dalam pengiraan undi.

Pada malam yang sama, Abigail Spanberger turut melakar sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Gabenor Virginia mewakili kemenangan berganda buat Parti Demokrat di negeri tersebut.

Dalam ucapan kemenangannya, Hashmi merakamkan penghargaan kepada para penyokong dan menyifatkan keputusan itu sebagai bukti kekuatan perpaduan rakyat pelbagai latar belakang.

“Bersama-sama, kita telah mengukir satu laluan baharu dalam sejarah,” katanya disambut sorakan penyokong.

Beliau turut mengenang perjalanannya sebagai seorang kanak-kanak imigran yang tiba di Amerika kepada pemegang jawatan tinggi negeri.

“Perjalanan saya daripada anak kecil yang mendarat di Lapangan Terbang Savannah hinggalah ke hari ini, sebagai wanita Muslim pertama yang dipilih ke jawatan peringkat negeri, hanya menjadi kenyataan kerana peluang luas yang ditawarkan oleh negeri ini dan negara ini,” katanya penuh emosi.

Hashmi sebelum ini telah mencipta sejarah pada tahun 2019 apabila menjadi wanita Muslim pertama dilantik ke Dewan Perundangan Negeri Virginia mewakili kawasan barat daya Washington D.C.

Beliau dikenali sebagai tokoh pendidikan dan advokat sosial yang memperjuangkan akses kepada pendidikan tinggi, penjagaan kanak-kanak berkualiti serta pembangunan ekonomi yang inklusif.

Artikel Berkaitan:

Dalam satu temu bual bulan lalu, Hashmi berkata, kemenangannya diharap dapat menjadi isyarat bahawa rakyat Amerika masih bersatu melangkaui sempadan prejudis.

“Kita menunjukkan kepada seluruh negara bahawa Virginia kini berada di landasan yang meraikan kepelbagaian,” ujarnya.

Sebagai Timbalan Gabenor, Hashmi bakal memainkan peranan penting dalam memecah undi seri di Senat Negeri, serta menjadi pengganti pertama sekiranya Gabenor meletak jawatan atau meninggal dunia. – Agensi

Ringkasan AI

  • Ghazala Hashmi menjadi wanita Muslim pertama memenangi jawatan peringkat negeri di AS sebagai Timbalan Gabenor Virginia
  • Kemenangan Hashmi diumumkan oleh NBC News selepas mendapat kelebihan besar dalam pengiraan undi
  • Abigail Spanberger menjadi wanita pertama dilantik sebagai Gabenor Virginia, membawa kemenangan berganda untuk Parti Demokrat
  • Hashmi merakamkan penghargaan kepada penyokong dan menyebut kemenangan sebagai bukti kekuatan perpaduan rakyat pelbagai latar belakang
  • Sebagai Timbalan Gabenor, Hashmi akan memainkan peranan penting dalam memecah undi seri di Senat Negeri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!