Lima sekeluarga nyaris maut, kereta terhumban dalam longkang

Anggota bomba sedang berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian pemandu.
Anggota bomba sedang berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian pemandu.
A
A
A

PERAI - Lima sekeluarga nyaris maut apabila kereta dinaiki mereka terbabas dan terhumban ke dalam longkang di Kilometer 130.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, Juru-Perai, di sini awal pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.56 pagi itu, kenderaan jenis Honda Jazz dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam longkang di bahu lebuh raya.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.56 pagi sebelum lapan anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, kemalangan itu melibatkan lima mangsa terdiri daripada sepasang suami isteri dan tiga orang kanak-kanak.

"Empat mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba, manakala seorang mangsa lelaki tersepit di bahagian tempat duduk pemandu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, mangsa yang tersepit dikenal pasti sebagai pemandu, Mohd Firdaus Abu Hassan, 41, berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas penyelamat pada jam 5.42 pagi.

Katanya, mangsa mengalami kesakitan di bahagian belakang dan kemudiannya dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Isteri mangsa, Nurhafiza Ahmad Tajuddin, 42, serta tiga kanak-kanak berusia 14, sembilan dan tujuh tahun dilaporkan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Operasi menyelamat melibatkan bantuan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tamat sepenuhnya pada jam 6.06 pagi.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Lima sekeluarga nyaris maut apabila kereta terbabas masuk longkang di Lebuhraya Utara-Selatan
  • Kereta jenis Honda Jazz hilang kawalan sebelum terhumban dalam longkang
  • Lapan anggota bomba dengan sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian selepas terima panggilan kecemasan
  • Empat mangsa dikeluarkan orang awam, seorang lagi mangsa lelaki tersepit dikeluarkan pakai peralatan khas
  • Mangsa yang tersepit adalah pemandu, dibawa ke hospital, isteri dan tiga anaknya selamat tanpa cedera

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!