Pengurusan sisa tekstil catat pencapaian memberangsangkan

Rashidah mengadakan sidang media di Pusat Pengumpulan Kitar Semula Tekstil di Taman Kejiranan Desa Mawar pada Selasa.
Rashidah mengadakan sidang media di Pusat Pengumpulan Kitar Semula Tekstil di Taman Kejiranan Desa Mawar pada Selasa.
A
A
A

GEORGE TOWN - Usaha pengurusan sisa tekstil di kawasan pulau di negeri ini mencatatkan pencapaian memberangsangkan apabila sebanyak 67.6 tan sisa tekstil berjaya dikumpulkan.

Pengumpulan itu dibuat menerusi kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Life Line Clothing Malaysia (LLCM) sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap tapak pelupusan.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP, Rashidah Jalaludin berkata, inisiatif yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu itu merupakan langkah proaktif MBPP dalam memperkukuh pengurusan sisa mampan di negeri ini, khususnya melibatkan sisa tekstil yang sering terlepas pandang.

"Pulau Pinang menjana purata kira-kira 1,300 tan sisa pepejal setiap hari namun hanya sekitar 500 tan berjaya diasingkan melalui pelbagai aktiviti kitar semula.

"Baki sisa berkenaan masih dilupuskan di tapak pelupusan, sekali gus meningkatkan keperluan kepada pelaksanaan lebih banyak inisiatif hijau bagi mengurangkan kebergantungan terhadap kaedah pelupusan konvensional," katanya pada sidang akhbar di Pusat Pengumpulan Kitar Semula Tekstil di Taman Kejiranan Desa Mawar di sini pada Selasa.

Turut hadir, Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Rohaizat Hamid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang.

Tambah beliau, MBPP telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk Kempen No Single Use Plastic, No Plastic Straw, Bring Your Own Container (BYOC) serta Pengasingan Sisa di Punca.

"MBPP menyasarkan kutipan sisa tekstil di bahagian pulau meningkat lebih 100 tan pada tahun ini susulan pelaksanaan inisiatif Pusat Pengumpulan Sisa Tekstil serta sambutan menggalakkan daripada komuniti setempat.

"Inisiatif hijau yang dilaksanakan bersama LLCM itu merupakan langkah proaktif bagi memperkukuh pengurusan sisa mampan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Rashidah menambah, sisa tekstil walaupun hanya membentuk kira-kira dua peratus daripada komposisi keseluruhan sisa namun pengasingannya mampu memberi impak besar dari segi pengurangan kos serta kesan terhadap alam sekitar.

“Setiap tahun, beribu tan pakaian dan fabrik berakhir di tapak pelupusan sedangkan ia masih boleh diguna semula, dikitar semula atau dipulihkan,” katanya.

Beliau memaklumkan, selain kutipan keseluruhan 67.6 tan di bahagian pulau, kawasan Taman Kejiranan Desa Mawar turut merekodkan pencapaian memberangsangkan apabila berjaya mengumpul sebanyak 1.25 tan sisa tekstil dalam tempoh lima bulan.

"Pencapaian ini menjadikan Taman Kejiranan Desa Mawar antara lima kawasan teratas di Pulau Pinang daripada segi jumlah kutipan sisa tekstil.

“MBPP menjangkakan peningkatan yang lebih memberangsangkan dalam kutipan dan pemulihan sisa tekstil di Pulau Pinang pada tahun 2026,” ujarnya.

Menurut beliau, melalui kerjasama tersebut, LLCM akan mengendalikan pengumpulan sisa tekstil dari pelbagai lokasi di sekitar Pulau Pinang bagi memastikan bahan berkenaan tidak berakhir di tapak pelupusan.

"Sebagai langkah awal, tong pengumpulan sisa tekstil berwarna merah jambu telah ditempatkan di 31 lokasi strategik melibatkan keseluruhan 45 buah tong.

“MBPP menjangkakan jumlah lokasi ini akan terus bertambah dengan penyertaan sektor swasta serta permintaan orang ramai,” katanya.

Beliau menambah, inisiatif itu bukan sekadar melibatkan pengumpulan sisa malah berperanan sebagai platform pendidikan bagi mengubah minda masyarakat terhadap pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab.

“Orang ramai digalakkan memainkan peranan dengan mengasingkan dan menyumbangkan tekstil terpakai ke tong yang disediakan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, MBPP turut memperkukuh amalan kitar semula menerusi pelaksanaan Dasar Pengasingan Sisa di Punca di Pulau Pinang.

Joseph (kiri) menunjukkan cara meletakkan sisa tekstil untuk dikitar semula.
Joseph (kiri) menunjukkan cara meletakkan sisa tekstil untuk dikitar semula.

Rashidah berkata, kutipan barangan kitar semula dilaksanakan setiap hari mengikut kawasan kutipan kontraktor sisa pepejal bermula jam 8 pagi hingga 4 petang.

Tambahnya, kegagalan membuat pengasingan sisa boleh dikenakan kompaun sehingga RM500 dan orang awam boleh mendapatkan maklumat lanjut termasuk lokasi tong kitar semula melalui Aplikasi Pearl MBPP.

"MBPP berharap program pengumpulan sisa tekstil ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama antara pihak berkuasa tempatan, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti dalam menangani isu alam sekitar secara bersepadu.

"Dengan sokongan semua pihak, Pulau Pinang berpotensi menjadi bandar contoh yang mengimbangi pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang," katanya.

Ringkasan AI

  • Usaha pengurusan sisa tekstil di Pulau Pinang berjaya mengumpulkan 67.6 tan sisa
  • Kerjasama antara MBPP dan LLCM mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan
  • MBPP melancarkan inisiatif hijau termasuk kitar semula dan mengurangkan penggunaan plastik
  • Sasaran pengumpulan sisa tekstil di pulau meningkat lebih 100 tan pada tahun ini
  • Inisiatif ini bertujuan mengurangkan kesan terhadap alam sekitar dan menggalakkan pendidikan pengurusan sisa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!