Tutup ‘lubang’ ketirisan

Jika BUDI95 mampu membuktikan bahawa subsidi bersasar boleh dilaksanakan dengan baik dan lancar, tidak ada sebab sistem sama tidak boleh diperluaskan.
Jika BUDI95 mampu membuktikan bahawa subsidi bersasar boleh dilaksanakan dengan baik dan lancar, tidak ada sebab sistem sama tidak boleh diperluaskan.
A
A
A

LANGKAH kerajaan meneliti pelaksanaan penyasaran subsidi bagi gula, beras dan minyak masak secara berfasa ialah isyarat jelas bahawa Malaysia sedang bergerak ke arah sistem ekonomi lebih berdisiplin serta telus.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, langkah penyasaran subsidi itu akan dilaksanakan lebih menyeluruh bagi memastikan tiada ketirisan dan menjamin kemudahan tersebut hanya dinikmati mereka yang benar-benar memerlukan.

Langkah itu juga selaras dengan kejayaan pelaksanaan subsidi bahan api melalui program Budi Madani Ron95 (BUDI95) dan diesel sebelum ini. Maka, sudah tiba masanya strategi sama diperluas kepada barangan asas lain.

Penyasaran subsidi bukan bermaksud menafikan hak rakyat untuk menikmati harga berpatutan, sebaliknya memastikan bantuan tersebut sampai kepada golongan yang layak.

Seperti ditegaskan pakar ekonomi, langkah itu tidak membabitkan kos tambahan kepada kerajaan, malah menjimatkan perbelanjaan tahunan dan menutup ruang ketirisan yang selama ini menjadi ‘lubang bocor’ dalam pengurusan fiskal negara.

Sudah terlalu lama subsidi pukal dimanipulasi. Golongan berada turut menikmatinya, penyeludupan berlaku tanpa kawalan dan bantuan sepatutnya menjadi pelindung sosial akhirnya menguntungkan pihak yang salah. Dengan teknologi sedia ada, penggunaan MyKad dan aplikasi digital mampu memastikan setiap sen bantuan disalurkan secara tersasar serta dipantau.

Bagaimanapun, pelaksanaan dasar tersebut menuntut kebijaksanaan. Golongan B40 serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tidak boleh dibiarkan menanggung kesan kenaikan harga bahan asas. Justeru, mekanisme perlindungan bersasar perlu berjalan seiring supaya mereka tidak menjadi mangsa kepada pelaksanaan yang tergesa-gesa.

Ada yang berhujah waktu ini belum sesuai kerana industri masih dikuasai kartel dan monopoli. Namun, sampai bila kita mahu berlindung di sebalik alasan tersebut? Isu kartel wajar ditangani segera tetapi bukan alasan untuk menangguhkan pembaharuan struktur ekonomi yang lebih mampan.

Kerajaan mesti berani melangkah. Jika BUDI95 mampu membuktikan bahawa subsidi bersasar boleh dilaksanakan dengan baik dan lancar, tidak ada sebab sistem sama tidak boleh diperluaskan.

Artikel Berkaitan:

Penyasaran subsidi bukan sekadar dasar ekonomi tetapi cerminan kematangan sebuah negara yang mahu berdiri atas dasar keadilan dan tanggungjawab fiskal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!