Penyasaran subsidi satu lagi cabaran untuk rakyat

Kerajaan akan melaksanakan penyasaran subsidi gula, beras dan minyak masak secara berfasa bagi mengurangkan ketirisan. - Gambar hiasan
Kerajaan akan melaksanakan penyasaran subsidi gula, beras dan minyak masak secara berfasa bagi mengurangkan ketirisan. - Gambar hiasan
A
A
A

KERAJAAN akan meneliti pelaksanaan penyasaran subsidi dan bantuan ke atas barangan bersubsidi seperti gula, beras dan minyak masak secara berperingkat yang dilihat menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh disiplin fiskal negara.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying menyatakan bahawa dasar ini akan dilakukan secara berperingkat dan berfasa bagi memastikan ketirisan dapat dikawal dan hanya golongan yang benar-benar layak menikmati manfaat subsidi.

Walaupun langkah ini dilihat ada logiknya dari sudut ekonomi, realitinya pelaksanaan dasar sebegini akan memberi kesan langsung kepada rakyat bawahan dan peniaga kecil, yang juga merupakan kelompok yang sering menjadi tulang belakang ekonomi tempatan.

Dari segi dasar fiskal, penyasaran subsidi amat diperlukan bagi membendung ketirisan dan pembaziran.

Selama ini, subsidi menyeluruh menyebabkan manfaat turut dinikmati oleh mereka yang berpendapatan tinggi, malah terdapat ketirisan melibatkan pihak industri dan warga asing.

Dengan pelaksanaan program seperti Budi Madani RON95 dan subsidi diesel bersasar sebelum ini, kerajaan telah memulakan fasa awal reformasi ini.

Penjimatan yang dijangka diperoleh boleh disalurkan semula kepada sektor penting seperti pendidikan, kesihatan dan pembangunan luar bandar.

Namun, cabaran sebenar ialah pelaksanaan di peringkat akar umbi yang membabitkan ketepatan data penerima subsidi.

Kesilapan dalam mengenal pasti kumpulan sasar boleh menyebabkan golongan rentan tercicir dan yang membimbangkan, langkah penyasaran subsidi terhadap barangan asas boleh membawa kepada kenaikan kos operasi dalam rantaian bekalan makanan dan peruncitan.

Artikel Berkaitan:

Sekiranya itu yang dilaksanakan, golongan peniaga kecil khususnya di pasar, warung, restoran kecil dan pengusaha industri makanan berskala mikro bakal menjadi antara pihak paling terkesan apabila subsidi barangan asas dikurangkan.

Harga bahan mentah seperti minyak masak, gula, tepung dan beras memberi kesan langsung kepada kos pengeluaran harian mereka.

Bagi peniaga kecil yang beroperasi dengan margin keuntungan tipis, walaupun kenaikan harga hanya 20 atau 30 sen pada setiap bahan asas, ia boleh mengurangkan keuntungan secara ketara.

Justeru itu, kerajaan perlu menyediakan bentuk bantuan khusus seperti rebat operasi, subsidi tunai untuk perniagaan kecil, atau harga kawalan khas bagi pemborong kecil.

Komunikasi awam oleh kerajaan perlu diperkukuh supaya rakyat memahami matlamat sebenar dasar berkenaan dan bukan melihatnya semata-mata sebagai penghapusan bantuan.

Tanpa mekanisme sokongan yang kukuh kepada peniaga kecil, dasar ini berisiko mencipta jurang ekonomi baharu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!