[VIDEO] Kerajaan teliti penyasaran subsidi gula, beras dan minyak masak

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan meneliti pelaksanaan penyasaran subsidi dan bantuan ke atas barangan bersubsidi seperti gula, beras dan minyak masak secara berperingkat dan berfasa.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, langkah tersebut bertujuan mengelakkan ketirisan serta menjamin barangan bersubsidi hanya dinikmati oleh golongan benar-benar memerlukan seperti yang dilaksanakan menerusi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan subsidi diesel.
"Buat masa ini keutamaan kerajaan adalah memastikan kelancaran pelaksanaan program penyasaran bahan api sebagai asas kepada penstrukturan subsidi yang lebih menyeluruh.
"Kerajaan juga telah melaksanakan beberapa langkah termasuk meningkatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan dan bersepadu dengan kerjasama agensi berkaitan bagi memastikan barangan bersubsidi sampai kepada kumpulan sasar," katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai cadangan memperluas barangan subsidi lain selain diesel dan petrol.
Dalam pada itu Hui Ying menjelaskan, kerajaan akan sentiasa memastikan keberadaan barangan bersubsidi di setiap siri program Jualan Rahmah Madani.
"Bagi tahun 2025, program ini akan diperluaskan daripada sekurang-kurangnya dua kali sebulan di setiap kawasan parlimen kepada sekurang-kurangnya dua kali sebulan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) meliputi 600 kawasan di seluruh negara.
"Oleh itu barangan bersubsidi akan lebih mudah diakses terutamanya di kawasan yang mungkin tidak mudah didapati di kedai runcit biasa," ujarnya.
Ringkasan AI
- Kerajaan akan meneliti pelaksanaan penyasaran semula subsidi secara berperingkat untuk barangan seperti gula, beras dan minyak masak
- Langkah ini bertujuan memastikan subsidi hanya dinikmati oleh mereka yang memerlukan dan mengelakkan ketirisan
- Kini, keutamaan kerajaan adalah memastikan kelancaran pelaksanaan program penyasaran subsidi bahan api diesel dan BUDI95
- Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) mempunyai 30.4 juta profil individu dan isi rumah warga negara dan bermastautin tetap di Malaysia
- Sebanyak 17 permohonan telah diluluskan untuk menggunakan data PADU bagi pelbagai penentuan dasar dan program
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

