6,000 murid di seluruh negara dijangkiti influenza - KPM

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan seramai 6,000 murid di seluruh negara telah dijangkiti wabak influenza setakat ini.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, beberapa sekolah telah diarahkan tutup sementara atas nasihat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), antaranya sebuah sekolah di Johor.
“Setakat hujung minggu lalu, lebih kurang 6,000 murid dilaporkan dijangkiti influenza, namun ia tidak berlaku di satu kawasan sahaja, sebaliknya melibatkan sekolah-sekolah berbeza di beberapa negeri,” katanya ketika sidang akhbar di sini pada Isnin.
Menurut beliau, kementerian telah mengedarkan garis panduan pengurusan penyakit berjangkit kepada semua sekolah, institut pendidikan guru (IPG), kolej matrikulasi dan institusi vokasional bagi memastikan semua warga sekolah mengambil langkah pencegahan segera.
“Kita sudah berikan panduan kepada sekolah agar menggalakkan pemakaian pelitup muka dan mengurangkan aktiviti berkumpulan buat sementara waktu.
“Sekolah juga diminta merujuk kepada pejabat kesihatan daerah (PKD) masing-masing jika berlaku peningkatan kes,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa nasihat dan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus menjadi panduan utama dalam menentukan tindakan lanjut termasuk penutupan sekolah, sekiranya perlu.
“Kalau KKM atau Pejabat Kesihatan Negeri arahkan sekolah ditutup, kita akan akur serta-merta,” ujarnya.
Menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mohd Azam memberi jaminan bahawa KPM telah bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh menjejaskan pelaksanaan peperiksaan yang dijadual bermula pada 3 November ini.
“Saya telah arahkan pegawai di Lembaga Peperiksaan supaya bersedia dengan cabaran ini.
“Kita sudah ada pengalaman mengendalikan peperiksaan semasa pandemik Covid-19, jadi kita tahu bagaimana menyesuaikan pelaksanaan peperiksaan jika keadaan memerlukan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa KPM mempunyai prosedur operasi standard (SOP) khas untuk menguruskan calon yang sakit, termasuk membenarkan mereka menduduki peperiksaan di hospital atau lokasi alternatif dengan pemantauan rasmi.
Pada masa sama, KPM menasihatkan semua sekolah supaya lebih peka terhadap simptom influenza dalam kalangan murid dan guru, serta mengambil tindakan segera sekiranya terdapat tanda-tanda penularan.
“Sekiranya ada murid bergejala, pihak sekolah boleh benarkan mereka berehat atau mendapatkan rawatan.
“Tidak semua kes perlu dibawa kepada penutupan sekolah, ada yang cukup dengan cuti sakit individu,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi terhadap aspek keselamatan murid dan menganggap isu kesihatan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memastikan sekolah kekal sebagai persekitaran yang selamat dan kondusif.
“Keselamatan dan kesejahteraan murid adalah keutamaan kita. Kami akan terus pantau situasi ini bersama pihak kesihatan,” katanya.
Ringkasan AI
- PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan 6,000 murid di seluruh negara dijangkiti wabak influenza
- Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, beberapa sekolah telah diarahkan tutup sementara atas nasihat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD)
- Antara sekolah yang diarahkan tutup adalah sebuah sekolah di Johor
- Sebanyak 6,000 murid dilaporkan dijangkiti influenza setakat hujung minggu lalu
- Kejadian influenza ini melibatkan sekolah-sekolah berbeza di beberapa negeri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

