ART Malaysia-AS: Kebimbangan berterusan Sabah, Sarawak-Jeffrey Kitingan

KOTA KINABALU - Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan melihat wujud kebimbangan bagi Sabah dan Sarawak mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) Malaysia-Amerika Syarikat baru-baru ini.
Beliau berkata, banyak yang telah diperkatakan dan dianalisis mengenai perjanjian tersebut dan ramai pihak mempersoalkan kehilangan kedaulatan ke atas perdagangan, pelaburan dan komitmen Malaysia walaupun terdapat pengurangan tarif untuk Malaysia dari 25 ke 19 peratus serta pengecualian untuk produk tertentu termasuk minyak sawit ke pasaran AS.
"Antara kebimbangan yang dibangkitkan termasuklah prosedur pematuhan AS, sekatan ke atas Malaysia untuk memasuki perjanjian dengan negara ketiga lain, layanan keutamaan untuk syarikat-syarikat AS, kawalan eksport untuk diselaraskan dengan peraturan AS dan pelaburan ke Malaysia ke atas mineral kritikal seperti nadir bumi.
"Bagi rakyat Sabah dan Sarawak, terdapat kebimbangan berterusan mengenai perjanjian ART yang dimeterai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang gagal mengutamakan kepentingan kedua-dua wilayah Borneo walaupun terdapat janji autonomi dan perlindungan perlembagaan di bawah Perlembagaan Persekutuan agar persetujuan wilayah Borneo diperoleh terlebih dahulu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Keningau berkata, ekonomi Sabah tidak simetri dengan ekonomi di Semenanjung dan dalam banyak bidang, satu dasar tunggal untuk Malaysia gagal mempertimbangkan secara mendalam implikasi untuk Sabah atau Sarawak.
"Sabah adalah pengeluar terbesar negara bagi minyak mentah dan minyak sawit serta difahamkan mempunyai banyak unsur nadir bumi, yang mana sebahagian daripadanya boleh digunakan untuk industri aeroangkasa dan pertahanan mewah termasuk untuk roket aeroangkasa dan jet pejuang.
"Sabah seharusnya mempunyai kedaulatan dan autonominya sendiri untuk berurusan dan membangunkan ekonominya sendiri mengikut acuan dan potensi Sabah dan bukan diputuskan oleh pihak lain yang jauh di seberang Laut China Selatan yang tidak memahami sepenuhnya senario Sabah serta potensinya," katanya.
Beliau menegaskan bahawa isu ART bukan perkara kecil dan memerlukan suara tegas kepimpinan negeri bagi memastikan kepentingan Sabah tidak diketepikan dalam sebarang keputusan di peringkat Persekutuan.
"Ketua Menteri kita sekarang, walaupun hanya sebagai penjawat sementara, tidak seharusnya berdiam diri dalam menerima ART tetapi bersuara demi kepentingan terbaik Sabah dan rakyatnya agar ART tidak menjejaskan masa depan Sabah.
"Bagi rakyat Sabah, kita mesti bersatu dan membina serta mengangkat ekonomi Sabah yang mengutamakan Sabah dan rakyat Sabah yang akan menjamin masa depan untuk semua rakyat Sabah dan bukan untuk kepentingan parti politik di luar Sabah atau kepentingan asing," katanya.
Ringkasan AI
- Presiden Parti Solidariti Tanah Airku mencemaskan kebimbangan Sabah dan Sarawak atas Perjanjian Perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat
- Ada kebimbangan tentang kehilangan kedaulatan dalam perdagangan dan investasi Malaysia
- Kebimbangan termasuk prosedur pematuhan AS dan sekatan terhadap Malaysia dalam perjanjian dengan negara ketiga
- Ekonomi Sabah tidak simetri dengan Semenanjung, memerlukan pertimbangan khusus dalam dasar perdagangan
- Isu RTA memerlukan suara tegas dari kepimpinan negeri Sabah untuk memastikan kepentingan Sabah tidak diketepikan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
