MTEM gesa kerajaan batal ratifikasi ART Malaysia-AS

SHAH ALAM - Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menggesa kerajaan supaya membatalkan ratifikasi atau pengesahan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).
Pemegang Amanah MTEM, Mohammad Syahnis Salleh berkata, ia antara tiga tuntutan yang wajar dipertimbangkan sehingga analisis impak menyeluruh terhadap ekonomi Bumiputera dan kedaulatan dasar negara disiapkan sebelum disemak semula.
Selain itu, menurutnya, perjanjian perdagangan masa depan perlu melalui proses rundingan terbuka dengan penyertaan wakil badan bukan kerajaan (NGO) ekonomi Bumiputera, pakar perundangan dan industri tempatan.
Jelasnya, klausa perlindungan hak Bumiputera dan pengecualian-pengecualian yang diperlukan mesti dimasukkan dengan jelas dalam mana-mana perjanjian perdagangan antarabangsa.
"MTEM menegaskan keterbukaan ekonomi tidak boleh dijadikan alasan untuk menyerahkan kedaulatan ekonomi negara kepada kuasa asing.
"Pembangunan inklusif mesti berpaksikan kepentingan rakyat Malaysia, bukannya pelabur luar," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Pada Ahad lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AS, Donald Trump menandatangani ART serta perjanjian mineral kritikal bagi memperkukuh kerjasama ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Berkaitan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Perjanjian ART Malaysia-AS menyaksikan kadar tarif purata diturunkan daripada 25 peratus kepada 19 peratus, serta akses pasaran yang lebih meluas bagi eksport utama negara.
Majlis pemeteraian perjanjian itu disaksikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Wakil Perdagangan AS, Duta Jamieson Greer dan Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick.
Melalui ART itu juga, Malaysia memperoleh pengecualian ke atas 1,711 talian tarif merangkumi produk utama seperti minyak sawit, getah, koko, alat ganti pesawat dan farmaseutikal, yang mewakili 12 peratus daripada eksport Malaysia ke AS bernilai kira-kira AS$5.2 bilion.
Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian awal, Mohammad Syahnis berpendapat bahawa ART yang dirangka berisiko menghapuskan ruang dasar afirmatif Bumiputera dengan lebih meluas berbanding Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Jelasnya, terdapat dalam klausa 6.2 'commercial consideration' di mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dilarang untuk tidak beroperasi secara 'tidak komersial' dengan dasar-dasar seperti keutamaan vendor Bumiputera, kuota pembangunan tempatan dan pelaburan strategik berasaskan ekuiti Bumiputera.
"Ini secara langsung bercanggah dengan semangat Artikel 153 Perlembagaan, bahkan CPTTP yang kami bantah sebelum ini masih mengandungi 'safe guard' dan pengecualian tertentu.
"MTEM menegaskan, syarikat berkenaan kerajaan (SOE) bukan entiti komersial semata-mata, tetapi instrumen dasar negara. Maka, sebarang had terhadap autonomi SOE yang menyokong dasar Bumiputera satu bentuk campur tangan dalam dasar ekonomi nasional," ujarnya.
Di samping itu, Mohammad Syahnis berpandangan bahawa ART berpotensi menjejaskan hak eksklusif Malaysia terhadap sumber asli dan nadir bumi (REE), sektor yang kini menjadi sasaran geopolitik global.
"Sekiranya tidak dikawal, ART boleh membuka ruang kepada syarikat asing untuk menuntut akses pasaran dan pelaburan tanpa sekatan, sekali gus mengurangkan kawalan kerajaan terhadap eksploitasi sumber strategik ini.
"REE perlu kekal sebagai aset strategik nasional di bawah kawalan penuh kerajaan. Sebarang kerjasama luar hendaklah berteraskan manfaat bersama serta keutamaan nasional.
"Dicadangkan REE dijadikan sebagai jaminan kedaulatan negara bagi menjamin hak generasi akan datang," tambahnya.
Ringkasan AI
- MTEM menggesa kerajaan supaya membatalkan ratifikasi ART antara Malaysia dan AS
- Tuntutan ini bersandarkan keperluan analisis impak terhadap ekonomi Bumiputera dan kedaulatan dasar negara
- MTEM menegaskan perjanjian perdagangan internasional harus melibatkan klausa perlindungan hak Bumiputera
- Perdana Menteri Malaysia dan Presiden AS menandatangani ART yang menurunkan tarif dan memperluas akses pasaran
- MTEM berpendapat ART berisiko menghapuskan ruang dasar afirmatif Bumiputera dan menjejaskan hak eksklusif Malaysia terhadap sumber asli
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

