Rasuah umpama khianati amanah rakyat

Rasuah dalam perkhidmatan awam bukan lagi isu terpencil, sebaliknya sudah menjadi penyakit lama yang sukar sembuh. Foto hiasan
Rasuah dalam perkhidmatan awam bukan lagi isu terpencil, sebaliknya sudah menjadi penyakit lama yang sukar sembuh. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Rasuah dalam kalangan kakitangan awam yang masih berlaku perlu dipandang serius kerana ia merupakan pengkhianatan terhadap amanah rakyat serta maruah negara.

Presiden Pertubuhan Perdana Nasional (PPN), Abdul Hakim Hafizi Hamizan berkata, perbuatan itu bukan sekadar salah laku individu, sebaliknya menjadi racun yang boleh merosakkan sistem pentadbiran dan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

“Kita mesti berani berkata benar, tiada alasan, tiada toleransi dan tiada kompromi terhadap rasuah. Tekanan hidup, budaya kerja atau peluang tidak boleh dijadikan justifikasi.

“Integriti mesti kekal menjadi asas setiap penjawat awam dan pemimpin masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang pembantu tadbir Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jelebu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas 77 pertuduhan rasuah dan mengemukakan dokumen palsu berhubung pelbagai perkhidmatan bernilai lebih RM400,000 pada 2022 hingga 2023.

Pada Jumaat, seorang pegawai kanan tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima suapan RM34,500 sebagai upah tidak melaporkan aktiviti penyeludupan barangan dari negara jiran, Julai lalu.

Beliau berkata, usaha memperkukuh budaya integriti dan memperketat pengawasan perlu digerakkan secara berterusan agar setiap keputusan dibuat dengan telus serta berlandaskan tanggungjawab.

Menurutnya, pemimpin perlu menunjukkan teladan, manakala golongan belia pula harus menjadi benteng baharu dalam menolak rasuah, sama ada dalam bentuk kecil atau besar.

Abdul Hakim turut menyifatkan rasuah dalam perkhidmatan awam bukan lagi isu terpencil, sebaliknya sudah menjadi “penyakit lama yang sukar sembuh”.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau menegaskan kerajaan perlu berhenti menjadikan kempen antirasuah sebagai acara simbolik atau sekadar pertandingan slogan.

Katanya, apa yang rakyat mahukan ialah tindakan nyata tanpa pilih kasih, bukan sekadar pelancaran strategi baharu setiap beberapa tahun.

“Saya ingin mengingatkan, kalau masih ada penjawat awam yang menganggap rasuah itu ‘peluang cari rezeki’, maka dia sebenarnya sedang menggadai maruah dan menempah kehinaan,” katanya lagi.

Beliau berpandangan jawatan bukan lesen untuk mencari kekayaan segera, sebaliknya satu amanah untuk berkhidmat kepada rakyat.

Ringkasan AI

  • Rasuah dalam kalangan kakitangan awam dilihat sebagai pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan maruah negara
  • Tekanan hidup atau budaya kerja tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan rasuah
  • Kes rasuah terbaru melibatkan pembantu tadbir dan pegawai kanan tentera dengan jumlah suapan bernilai lebih RM400,000
  • Usaha memperkukuh budaya integriti dan pengawasan perlu ditingkatkan
  • Rasuah dalam perkhidmatan awam adalah penyakit lama yang sukar untuk disembuhkan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!