Skuad Taktikal Khas SPRM terajui operasi berisiko tinggi perangi penyeludupan

Saiful Ezral (tengah) bergambar bersama warga SPRM yang terlibat dalam menjayakan Program Menembak SPRM Bersama Media di Lapang Sasar Maktab Penjara Kajang pada Sabtu.
Saiful Ezral (tengah) bergambar bersama warga SPRM yang terlibat dalam menjayakan Program Menembak SPRM Bersama Media di Lapang Sasar Maktab Penjara Kajang pada Sabtu.
A
A
A

KAJANG - Op Karen dan Op Metal membabitkan tindakan ke atas jenayah penyeludupan diesel serta besi buruk antara operasi berisiko tinggi melibatkan Skuad Taktikal Khas (ACTS) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai barisan hadapan.

Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin berkata, ACTS telah ditubuhkan SPRM dalam memperkukuh keupayaan operasi.

Menurutnya, ACTS telah menjalani latihan intensif di Kompleks Latihan Tempur Jarak Dekat (CQB) VAT 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ulu Kinta di Perak pada Februari 2024.

"Skuad ini merupakan barisan hadapan dalam operasi berisiko tinggi yang menuntut ketahanan fizikal, disiplin mental serta kesediaan menghadapi sebarang bentuk ancaman.

"Antara operasi penting yang disertai pasukan ACTS termasuk Op Metal iaitu serbuan terhadap sindiket penyeludupan besi buruk dan bahan sampah elektronik (e-waste) di beberapa negeri selain Op Karen," katanya semasa berucap dalam Program Menembak SPRM Bersama Media di Lapang Sasar Maktab Penjara Kajang di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM, Zuhairie Abu Bakar.

Saiful Ezral (tengah) menyampaikan hadiah kepada petugas media yang terlibat dalam Program Menembak SPRM Bersama Media di Lapang Sasar Maktab Penjara Kajang pada Sabtu.
Saiful Ezral (tengah) menyampaikan hadiah kepada petugas media yang terlibat dalam Program Menembak SPRM Bersama Media di Lapang Sasar Maktab Penjara Kajang pada Sabtu.

Tambah Saiful Ezral, penugasan ACTS dijalankan bersama agensi lain di bawah Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi (MATF) yang melibatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Laut Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Kejayaan operasi-operasi ini membuktikan bahawa SPRM bukan sahaja komited daripada segi siasatan dan pencegahan, tetapi juga dalam kesiapsiagaan taktikal dan keselamatan operasi.

"Operasi-operasi besar dan kompleks membabitkan sindiket ini juga dapat dilaksanakan dengan jayanya dengan kerjasama antara agensi dengan penubuhan MATF," ujarnya.

Laporan eksklusif Sinar Harian pada 9 September lalu melaporkan kegiatan sebuah syarikat menjadi kartel dalam perniagaan pembekalan bahan api diesel ke seluruh negeri Sarawak dipercayai telah menyebabkan kerugian puluhan jutaan ringgit kepada negara.

Berikutan itu, SPRM menerusi Op Karen di Sarawak telah menahan lima individu membabitkan tiga pengarah syarikat, seorang pengurus syarikat dan seorang pengurus wilayah.

Sitaan membabitkan lima unit kereta (RM1.7 juta), 24 bidang tanah (RM3 juta), lima kapal (RM52 juta), minyak diesel (RM9.7 juta), wang kripto RM564,673 serta wang tunai RM28,000.

Ringkasan AI

  • Op Karen dan Op Metal adalah operasi melawan jenayah penyeludupan diesel dan besi buruk oleh Skuad Taktikal Khas SPRM
  • ACTS, sebuah unit khas SPRM, telah menjalani latihan intensif di Kompleks Latihan Tempur Jarak Dekat VAT 69
  • Operasi melibatkan kerjasama dengan agensi lain seperti LHDN, Bank Negara Malaysia, KPDN dan Jabatan Laut Malaysia
  • Keseriusan SPRM dalam memerangi jenayah sindiket dibuktikan melalui penahanan lima individu dan rampasan bernilai jutaan ringgit dalam Op Karen
  • Program Menembak SPRM Bersama Media diadakan di Lapang Sasar Maktab Penjara Kajang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!