Sekecil mana pun rasuah tetap beri kesan domino terhadap ekonomi negara

SHAH ALAM – Rasuah berskala kecil dalam sistem kewangan tetap mampu mencetuskan kesan domino terhadap ekonomi negara dan menggugat kepercayaan masyarakat terhadap institusi perbankan.
Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Dr Nor Halmey Hamdah berkata, pelabur luar akan melihatnya sebagai kelemahan kawalan dalaman dan ketidaktelusan pengawasan perbankan.
"Dalam konteks global, isu ini turut mempengaruhi indeks persepsi rasuah (CPI) serta reputasi Malaysia sebagai hab kewangan Islam yang menekankan prinsip amanah dan keadilan.
"Selain itu, sektor-sektor lain seperti perniagaan kecil, hartanah dan automotif juga boleh terjejas apabila keyakinan terhadap sistem pinjaman menjadi rendah," katanya.
Beliau bimbang sekiranya kes-kes rasuah kecil itu dibiarkan, ia akan mencipta rantaian masalah jangka panjang terhadap pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan.
Sebagai contohnya, Nor Halmey memberitahu, kes dua pegawai bank yang didakwa menerima rasuah berjumlah lebih RM109,000 di bawah Ops Sky mungkin kelihatan kecil dari segi nilai.
Namun, beliau melihat implikasinya amat besar terhadap integriti sektor perbankan dan kesejahteraan ekonomi negara.
Menurutnya, ia turut dikhuatiri memberi kesan jangka panjang kepada pelanggan khususnya penjawat awam yang menjadi sasaran amalan tidak beretika tersebut.
Justeru, Nor Halmey menyarankan agar beberapa langkah strategik pencegahan rasuah dilaksanakan segera bagi mengelakkan insiden seumpama itu berulang.
Antara langkahnya termasuk memperkukuh audit dalaman, meningkatkan pemantauan akaun kakitangan bank untuk mengesan transaksi mencurigakan.
Beliau turut menekankan agar integriti dijadikan petunjuk prestasi utama (KPI) dalam menilai kakitangan sektor kewangan, bukan hanya berasaskan jumlah jualan atau pembiayaan.
"Wajibkan juga latihan kesedaran integriti dan etika profesional secara berterusan khususnya kepada pegawai pemasaran dan kelulusan kredit," ujarnya.
Ringkasan AI
- Rasuah berskala kecil dalam sistem kewangan boleh menggugat kepercayaan masyarakat terhadap institusi perbankan
- Pelabur luar melihat rasuah sebagai kelemahan kawalan dalaman dan ketidaktelusan pengawasan perbankan
- Isu rasuah mempengaruhi indeks persepsi rasuah dan reputasi Malaysia sebagai hab kewangan Islam
- Sektor perniagaan kecil, hartanah dan automotif boleh terjejas bila keyakinan terhadap sistem pinjaman menjadi rendah
- Langkah pencegahan termasuk memperkukuh audit dalaman dan meningkatkan pemantauan akaun kakitangan bank
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

