50,000 kontraktor bumiputera bimbang hilang kerja

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM – Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia meluahkan kebimbangan terhadap nasib 50,000 kontraktor bumiputera yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) ketika Perintah Kawalan Pergerakan yang diadakan sekarang.

Presidennya, Datuk Azman Yusoff berkata, dengan jumlah pekerja yang ramai dan punca pendapatan syarikat yang semakin menyusut, kerajaan diharap melaksanakan beberapa inisiatif bagi membantu golongan itu terutama dalam pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat.

Menurutnya, terdapat lima cadangan dari Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia yang boleh diambil perhatian kerajaan.

“Pertama adalah lanjutan tempoh kontrak sedia ada. Kerajaan perlu mempertimbangkan mana-mana kontrak penyelenggaraan sedia ada yang akan tamat dalam masa terdekat dapat dilanjutkan secara terus untuk satu tempoh yang munasabah tanpa perlu menaikkan harga kontrak.

“Jika kontrak yang akan tamat dalam masa terdekat tidak disambung atau berdepan kemungkinan ditamatkan, kontraktor pencucian, housekeeping, mekanikal elektrik, kontraktor servis serangga atau Pest Control, bangunan civil dan landskap antara kumpulan yang akan terjejas pendapatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata Azman lagi, cadangan kedua adalah pemberian kerja secara lantikan terus yang bukan sahaja kepada kontraktor kelas G1 dan G2 malah untuk kelas G3 yang terkesan pada waktu ini kerana kurangnya tawaran kerja kepada mereka.

“Ketiga adalah memberi kelonggaran syarat kepada kontraktor seperti dalam syarat tender dan sebut harga sesuai dengan pakej rangsangan untuk membantu semua yang terbabit dapat mengurangkan tanggungan mereka.

“Keempat pula menyarankan kerajaan dapat memantau syarikat konsesi supaya mematuhi syarat penubuhan asal konsesi sebagai syarikat berkonsepkan payung iaitu membantu syarikat kelas kecil menerusi tawaran kadar harga yang munasabah dan bersesuaian dengan keadaan semasa. Di bawah konsep ini, konsesi mesti membantu kontraktor dan bukan kontraktor kecil jadi mangsa bantu konsesi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, cadangan kelima adalah pengecualian cukai kerajaan sama ada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) atau Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) perlu dilaksanakan dalam pengumuman pakej rangsangan ekonomi seterusnya ini.

“Kerajaan perlu mempertimbangkan perkara ini dalam membantu kontraktor bumiputera untuk meneruskan kelangsungan perniagaan mereka sekali gus menjamin nasib pekerja di bawahnya. Setiap bantuan diberi kerajaan pastinya akan melegakan semua pihak terutama ketika tempoh penularan dan pencegahan Covid-19 tidak diketahui bila ia akan berakhir,” katanya.