Buat apa nak merajuk kalau tak diundang kenduri

BARU-baru ini, Merak Jalanan sempat menghadiri majlis perkahwinan seorang rakan lama. Walaupun jadual kerja padat dan kepala sarat dengan tugasan tetapi kerana rakan itu bersungguh-sungguh menjemput, Merak Jalanan cuba juga curi masa.
Majlisnya diadakan di sebuah hotel dalam suasana sederhana, namun penuh meriah. Kata si pengantin, dia lega semuanya berjalan lancar. Ramai kawan lama datang, dapat pula bertemu semula rakan-rakan yang sudah lama tak bersua muka. Suasana ceria, senyuman merata.
Namun di sebalik keriangan itu, muncul pula satu dilema kecil. Katanya, ada yang terasa hati kerana tidak dijemput. Hanya tahu selepas melihat gambar majlis berlegar di media sosial. Ada yang merajuk, kononnya tidak dihargai.
Merak Jalanan kenal benar pengantin ini. Dia bukan jenis memilih kawan. Tetapi lumrah, bila sudah ramai kenalan, bukan semua mampu diundang. Bajet tetap bajet, bukan semua kehendak boleh dipenuhi.
Sewa dewan, katering, cenderamata, busana pengantin, semuanya ada kos. Maka, tuan rumah terpaksa menimbang antara kemampuan dan keperluan. Bukannya soal siapa disayang atau siapa dilupakan.
Merak Jalanan sendiri pernah berada di tempat sama, tidak diundang ke majlis sahabat rapat. Tapi tidaklah sampai kecil hati. Fikir positif saja. Barangkali tempat terhad, atau sekadar ingin majlis kecil. Tak mengapa, bukan kad jemputan yang menentukan nilai persahabatan.
Justeru, buat yang tidak diundang, jangan cepat terasa. Dunia hari ini sudah cukup sesak dengan tekanan. Jangan ditambah dengan rajuk yang tidak perlu. Doakan saja yang baik-baik. Kadang-kadang, doa ikhlas dari jauh jauh lebih bermakna daripada hadir tanpa rela.
Kerana bagi Merak Jalanan, erti persahabatan sejati bukan diukur dengan sekeping kad jemputan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
